KUCHING: Lima lelaki warga Indonesia antara enam suspek yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kedai makan di kawasan Pasar Kota Sentosa, di sini, 18 September lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Supt Barry William berkata, semua suspek ditahan menerusi Op Cantas yang dijalankan sepasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
“Semua lima lelaki warga Indonesia itu ditahan sekitar Kota Sentosa pada 3 petang, 20 September lalu.
“Seorang lagi suspek, lelaki berbangsa Cina berusia 26 tahun ditahan sekitar 5.30 petang, 21 September lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Barry menambah, suspek-suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah kedai makan di kawasan Pasar Kota Sentosa pada 7 malam, 18 September lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara lain yang berbahaya.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini bagi permohonan reman bagi membantu polis melengkapkan siasatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Barry merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membantu polis mengesan dan menahan kesemua suspek.
Beliau turut menggalakkan masyarakat supaya terus menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.



