Pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching, membuka langkah kanan dalam saingan individu Sukan SEA 2025 apabila berjaya menundukkan wakil Indonesia, Dhinda Amartya Pratiwi, 21-11, 21-17 di Universiti Thammasat, hari ini.
Pada set pertama, Ling Ching mempamerkan aksi kemas dan penuh keyakinan dengan menguasai gelanggang sejak awal permainan.
Strategi tersebut nyata membuahkan hasil apabila beliau berjaya memerangkap lawan untuk melakukan kesilapan mudah sekali gus menamatkan saingan dengan keputusan 21-11.
Memasuki set kedua, pemain Indonesia itu mula memamerkan ketenangan dan cuba mengimbangi rentak permainan Ling Ching untuk merapatkan jurang mata.
Bagaimanapun, Ling Ching segera memperkemas corak permainan dan mengurangkan kesilapan bagi memastikan kemenangan mutlak 21-17.
Ling Ching ketika ditemui selepas perlawanan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan yang meyakinkan buat dirinya dan skuad negara.
“Perlawanan tadi sangat positif. Lagipun perseorangan wanita dah lama tidak dapat pingat. Jadi saya harap dapat beri aksi yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus terhadap keputusan akhir, sebaliknya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tahap prestasi di dalam gelanggang.
“Saya harap setiap perlawanan saya boleh berada pada prestasi terbaik sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dalam kategori perseorangan, beliau mengakui tugasan tersebut bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk dipikul.
“Saya rasa main perseorangan tidak senang. Pertama sekali kena kerja keras.
Kedua, setiap kejohanan dan setiap perlawanan, kita kena enjoy untuk kurangkan tekanan.
Lawan saya seterusnya memang pemain yang kuat, jadi saya harap esok saya boleh main lebih baik berbanding pertemuan terakhir kami,” katanya lagi.
Kemenangan itu memberikan suntikan moral penting kepada kontinjen badminton negara yang sedang memburu kedudukan podium dalam acara individu.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi wakil negara, Karuppathevan Letshanaa, apabila terpaksa akur selepas tewas 18-21, 13-21 kepada pemain Indonesia, Puteri Kusuma Wardani, dalam aksi di gelanggang sama.






