ARTIKEL

Liputan Internet Malaysia cecah 99.75 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DOHA: Liputan Internet di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus sehingga September 2026, manakala jumlah langganan 5G merekodkan sebanyak 31.3 juta.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha berterusan kerajaan memperluas kesalinghubungan digital, khususnya di kawasan yang masih kurang mendapat kemudahan rangkaian.

“Menerusi Jalinan Digital Nasional (JENDELA), kerajaan terus memperkukuh liputan Internet bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati akses digital yang berkualiti.

“Kesalinghubungan bukan sekadar menyediakan akses kepada Internet, malah berperanan mewujudkan peluang, memperkasa komuniti dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di Doha, Qatar.

Sehubungan itu, Malaysia turut memperkasa komuniti menerusi 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan kemahiran digital dan peluang keusahawanan serta menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU pada April 2026.

Sementara itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada Januari 2026 memperkukuh akauntabiliti penyedia platform serta melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian.

“Kempen Keselamatan Internet di seluruh negara melibatkan lebih tiga juta peserta bagi meningkatkan literasi digital dan menggalakkan penggunaan Internet secara bertanggungjawab,” jelasnya lagi,

Menyentuh perkembangan komunikasi kuantum, Fahmi memberitahu kerajaan dan pihak industri perlu membina kepercayaan serta memastikan kesalingoperasian menerusi penggunaan piawaian bersama dan pengujian peralatan.

Ujarnya, peralihan secara berperingkat kepada kriptografi tahan kuantum juga penting bagi memastikan keselamatan komunikasi tanpa menjejaskan perkhidmatan penting.

Dalam pada itu, Malaysia sedang membangunkan pelan nasional untuk melaksanakan kriptografi pascakuantum dalam infrastruktur maklumat kritikal negara.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara serta pengendali telekomunikasi bagi membangunkan medan uji penyelidikan dan pembangunan bersama.

“Inisiatif ini membolehkan penyelesaian diuji secara bersama, selain mempercepat peralihan kepada teknologi berkenaan dengan selamat,” katanya lagi.

Fahmi turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap ITU sejak menjadi anggota organisasi itu pada 1958, selain terus menjalin kerjasama konstruktif sebagai anggota Majlis ITU bagi memajukan keutamaan digital bersama.

Malaysia turut memohon sokongan berterusan negara-negara anggota bagi pencalonan semula sebagai anggota Majlis ITU untuk penggal 2027 hingga 2030.

Tambahnya, kerjasama antara negara dapat memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat daripada masa depan digital yang saling berhubung, inklusif dan selamat.

BERITA LAIN

Lokasi strategik Sarawak tarik banyak pelaburan

KUCHING: Kelebihan dari segi lokasi strategik, kos tenaga yang kompetitif serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan Sarawak destinasi berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan,

BERITA TERBARU

PDRM A juara Tenis Antara Bahagian Sarawak

KUCHING: Pasukan PDRM A muncul juara Kejohanan Tenis Antara Bahagian Sarawak 2026 selepas menewaskan PTBS Rassnorm 2-1 dalam aksi final yang berlangsung sengit di Kompleks