ARTIKEL

Loji air kering, penduduk Kabong berdepan krisis bekalan air kritikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Daerah Kabong kini berdepan krisis bekalan air yang semakin membimbangkan apabila penduduk terpaksa melalui beberapa hari kebelakangan ini tanpa menikmati bekalan air paip berikutan kegagalan operasi Loji Rawatan Air Lichok Roban menyalurkan air terawat seperti biasa.

Keadaan itu menimbulkan kesukaran besar kepada penduduk yang kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan bekalan air yang dihantar menggunakan lori tangki dan trak oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Selain itu, penduduk juga terpaksa mencari sumber air dari kolam-kolam di sekitar kawasan ini untuk mendapatkan bekalan air bagi kegunaan harian.

Cuaca panas melampau serta kemarau berpanjangan yang melanda kawasan ini sejak beberapa minggu lalu menyebabkan paras air mentah di loji rawatan air merosot ke tahap kritikal sehingga tidak lagi mencukupi untuk dipam dan diproses bagi tujuan rawatan.

Akibatnya, operasi loji terpaksa dihentikan, sekali gus menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk di beberapa kampung sekitar Kabong.

Bagi mengurangkan beban yang ditanggung penduduk, JBALB menggerakkan operasi penghantaran air secara berterusan ke kawasan terjejas.

Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut tampil membantu dengan mengagihkan bekalan air minuman botol secara berperingkat kepada keluarga yang memerlukan.

Penduduk yang ditemui melahirkan kebimbangan sekiranya keadaan cuaca kering berterusan kerana ia bukan sahaja menjejaskan keperluan harian, malah boleh memberi kesan kepada aspek kesihatan, kebersihan dan aktiviti ekonomi setempat.

Tinjauan di lokasi agihan air kepada penduduk pada jam 12.30 tengah hari tadi mendapati orang ramai mendapatkan bekalan air dengan membawa bekas masing-masing, manakala proses pengagihan dikendalikan oleh beberapa ketua kampung dan pihak berkenaan yang lain.

Orang ramai kini berharap keadaan cuaca kembali pulih dalam masa terdekat dan pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan krisis bekalan air yang kerap berulang tidak terus membelenggu penduduk Kabong pada masa hadapan.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

Getah sekerap Sarawak RM3.90 sekilogram

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap (cuplump) dan lateks tidak diaktifkan di seluruh negara pada Oktober ini.