KUCHING: Loji Hidrogen Rembus di Kota Samarahan akan menghasilkan hidrogen
dengan unjuran permintaan secara berfasa bermula pada 2027.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Fasa 1 melibatkan pengeluaran satu tan hidrogen sehari menjelang suku pertama 2027, diikuti Fasa 2 sebanyak dua tan sehari pada 2029.
Menurutnya, Fasa 3 pula menyasarkan pengeluaran lima tan hidrogen sehari menjelang 2032.
“Pembangunan hidrogen Sarawak juga sedang dilaksanakan secara praktikal dan progresif dengan menyeimbangkan kesiapsiagaan eksport serta pembangunan pasaran domestik.
“Ia juga termasuk membina keupayaan tempatan dan mewujudkan nilai mampan jangka panjang untuk Sarawak,” katanya pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri
(DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Tambahnya, Sarawak kekal komited dalam membangunkan ekonomi hidrogen bersih sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih luas untuk meletakkan negeri ini sebagai kuasa besar tenaga bersih serantau berpandukan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak.
“Pendekatan kita dilaksanakan secara berstruktur dan berfasa dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan keseluruhan rantaian nilai hidrogen iaitu daripada pengeluaran kepada pemprosesan pertengahan (midstream), penggunaan domestik, dan peluang eksport pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, mengulas mengenai
potensi produk hijau hiliran yang boleh dihasilkan menggunakan hidrogen hijau, beliau menegaskan selain digunakan sebagai bahan api pengangkutan, penjanaan elektrik dan haba, hidrogen hijau juga boleh digunakan sebagai sumber bahan mentah untuk menghasilkan produk seperti bahan kimia hijau (amonia dan metanol), e-bahan api atau bahan api sintetik.
“Ia juga dapat menjadi sumber bahan api untuk menyahkarbon industri berkaitan pemprosesan logam dan pembuatan kaca,” jelasnya.
Beliau memberitahu, Sarawak telah mengambil langkah jelas untuk mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu.
“Gas asli, sebagai bahan api peralihan beremisi lebih rendah akan semakin menyokong campuran penjanaan tenaga, dengan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) bekerjasama rapat dengan PETROS di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
“Yang penting, Loji Janakuasa Arang Batu Balingian yang mula beroperasi pada 2019 akan menjadi projek janakuasa arang batu terakhir di Sarawak untuk masa hadapan dan perancangan sedang dilaksanakan bagi menamatkan operasi loji arang batu lama secara berperingkat-peringkat,” tegasnya.



