KUCHING: Dentuman kuat mengejutkan pengguna jalan raya pagi ini apabila sebuah lori tiga tan bertembung dengan Toyota Avanza dalam satu kemalangan di Jalan Pending, berhampiran HICOM Square, di sini.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, PBK I Law Kim Hin, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.36 pagi itu mengakibatkan pemandu lori tersepit di tempat duduk, manakala dua kelindannya mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu Avanza pula berjaya keluar dari kenderaan dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan segera bergegas ke lokasi kejadian dengan 10 anggota bersama sebuah jentera penyelamat dari BBP Padungan.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pemandu lori yang tersepit, sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Operasi tamat selepas lokasi disahkan selamat. Pihak bomba menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati terutama ketika waktu puncak kesesakan lalu lintas,” tambahnya lagi.






