IPOH: Dua wartawan cedera apabila kereta mereka dilanggar sebuah lori di Menglembu awal pagi tadi ketika dalam perjalanan membuat liputan di Bagan Datuk.
Kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira 6 pagi itu menyebabkan wartawan Bernama, Nur Afiradina Arshad, 34, dirawat di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Sementara itu, wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan atas kecederaan yang dialaminya seperti dilapor Bernama.
Zahratulhayat memaklumkan Bernama bahawa kereta Perodua Bezza yang dipandu Afiradina berhenti di lampu isyarat sebelum dilanggar lori dari belakang, lalu berpusing dan terbalik.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan, manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan kesembuhan kedua-dua wartawan menerusi Facebook.





