Ada lagu yang kita dengar sekadar untuk menikmati melodi dan liriknya.
Ada juga lagu yang membawa kita kembali ke suatu masa dalam kehidupan, menghidupkan kenangan lama tersimpan dan membuka ruang kepada perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Bagi saya, Perfect, nyanyian kumpulan pop punk dari Kanada, Simple Plan, ialah lagu yang mempunyai makna tersendiri.

Lagu yang dilancarkan pada 2003 itu bukan sekadar karya muzik, malah turut menggambarkan perasaan seseorang yang membesar dengan persoalan, kekecewaan dan keinginan untuk difahami.
Baru-baru ini, saya menonton satu video di Instagram rasmi Simple Plan yang memaparkan seorang lelaki menangis sambil menyanyikan lagu Perfect ketika kumpulan itu mengadakan persembahan di sebuah konsert.
Walaupun hanya menonton rakaman itu melalui skrin telefon, saya terhenti seketika dan mula memikirkan sesuatu yang lebih mendalam daripada sekadar persembahan muzik.
Saya seakan-akan memahami perasaan lelaki tersebut.
Saya tidak mengetahui kisah hidupnya, sebab dia menangis atau kenangan yang bermain dalam kirannya ketika lagu itu bergema.
Namun, sebagai seseorang yang mempunyai hubungan emosi tersendiri dengan lagu berkenaan, saya memahami bagaimana sesebuah lagu mampu menyentuh sudut paling peribadi dalam diri seseorang.
Kadangkala, kita menangis bukan kerana perkara yang sedang berlaku di hadapan mata, tetapi kerana sesuatu yang pernah berlaku bertahuntahun dahulu.
Bagi saya, Perfect mempunyai tempat yang istimewa kerana lagu itu merupakan antara lagu terawal yang saya dengar ketika berusia lima tahun.
Pada usia semuda itu, sudah tentu saya belum memahami sepenuhnya maksud liriknya.
Saya hanya mengenali melodinya dan mungkin menyukai iramanya tanpa mengetahui suatu hari nanti, lagu yang sama akan membawa makna begitu besar dalam kehidupan saya.
Ketika berusia 10 tahun, ibu bapa saya bercerai.
Peristiwa itu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang membentuk cara saya memahami keluarga, kasih sayang dan hubungan antara ibu bapa dengan anak.
Pada usia ketika seorang kanak-kanak masih memerlukan kestabilan dan rasa selamat, perubahan besar dalam keluarga boleh meninggalkan kesan yang sukar dijelaskan, apatah lagi apabila kita sendiri belum cukup matang untuk memahami keadaan yang berlaku.
Di sinilah Perfect terasa begitu dekat dengan pengalaman saya.
Lagu tersebut mengangkat perspektif seorang anak yang berhadapan dengan hubungan yang renggang dengan bapanya, termasuk perasaan tidak difahami dan keinginan untuk diterima seadanya.
Walaupun pengalaman setiap individu berbeza, tema yang diketengahkan dalam lagu itu boleh menyentuh hati mereka yang pernah melalui konfik keluarga atau merasakan suara dan perasaan mereka tidak benar-benar didengari.
Bagi seseorang yang membesar selepas perceraian ibu bapa, lagu seperti ini boleh menjadi ruang untuk memahami perasaan sendiri.
Ada perkara yang sukar diluahkan kepada orang lain, bukan kerana kita tidak mahu bercerita, tetapi kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.
Kadangkala, lirik sesebuah lagu mampu menyampaikan perkara yang sukar kita ungkapkan dengan kata-kata sendiri.
Yang menarik, hubungan saya dengan lagu ini bermula jauh sebelum saya memahami maknanya. Ketika berusia lima tahun, saya mendengarnya sebagai lagu biasa.
Namun, selepas melalui pengalaman hidup sendiri, saya mula melihatnya dari perspektif yang berbeza.
Melodinya masih sama.
Liriknya juga tidak berubah. Namun, saya yang berubah. Mungkin itulah keistimewaan muzik.
Sesebuah lagu boleh menemani kita pada pelbagai peringkat kehidupan, tetapi maknanya berkembang seiring dengan pengalaman, kematangan dan kenangan yang kita kumpulkan.
Lagu yang suatu ketika dahulu sekadar menjadi latar bunyi zaman kanak-kanak boleh berubah menjadi teman ketika kita cuba memahami luka sendiri.
Sebab itu, saya tidak melihat lelaki yang menangis ketika menyanyikan Perfect sebagai seseorang yang terlalu mengikut perasaan.
Sebaliknya, rakaman itu mengingatkan saya di sebalik wajah yang kelihatan biasa, setiap orang mempunyai kisah yang tidak semestinya diketahui orang lain. Mungkin ada yang mendengar lagu itu lalu teringat akan seorang ayah.
Mungkin ada yang terkenangkan zaman kanak-kanak, hubungan yang tidak kesampaian atau katakata yang tidak pernah sempat diluahkan.
Bagi sesetengah orang, air mata yang mengalir ketika lagu itu dimainkan mungkin menjadi cara untuk melepaskan perasaan yang sudah terlalu lama dipendam.
Kita tidak perlu mengetahui keseluruhan kisah seseorang untuk menghormati perasaannya.
Dalam dunia yang sering mengajar kita supaya kelihatan kuat, tidak semua orang mempunyai ruang untuk menunjukkan kesedihan.
Ada yang memilih untuk berdiam diri, ada yang menyibukkan diri dengan pekerjaan dan ada juga yang menemukan sedikit kelegaan melalui muzik.
Bagi saya, Perfect bukan sekadar lagu yang pernah saya dengar ketika berusia lima tahun.
Lagu itu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang menghubungkan zaman kanakkanak dengan diri saya hari ini.
Pengalaman itu turut mengajar saya tidak semua luka dapat dilihat oleh mata.
Saya mungkin tidak akan pernah mengetahui sebab sebenar lelaki dalam video itu menangis.
Namun, saya bersyukur kerana rakaman tersebut mengingatkan saya perasaan yang tersimpan selama bertahun-tahun kadangkala boleh muncul kembali melalui sesuatu yang begitu sederhana, seperti sebuah lagu.
Kita mungkin membesar, belajar menerima keadaan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Namun, ada kenangan yang tetap tinggal, bukan untuk menghalang kita daripada bergerak ke hadapan, tetapi untuk mengingatkan kita tentang perjalanan yang dilalui.
Mungkin, bagi sesetengah daripada kita, Perfect akan sentiasa menjadi lebih daripada sekadar sebuah lagu.
Lagu itu menjadi suara kepada perasaan yang pernah kita pendam, kenangan yang masih kita simpan dan sebahagian daripada diri kita yang tidak pernah benar-benar dilupakan.





