Judul Buku: Curhat Perihal Si Kaca
Penulis: Ayman Iddin Ramli
Tahun Terbit:
Penerbit:
Jumlah Halaman:
Harga: RM15
Buku Curhat Perihal Si Kaca merupakan karya penulisan yang dihasilkan oleh Saudara Iddin Ramli.
Karya ini merupakan penceritaan yang berkisar tentang “Si Kaca”, iaitu seseorang atau sesuatu yang kelihatan rapuh, tetapi mampu memberi luka yang mendalam dalam kehidupan, seperti kaca tajam yang meninggalkan kesan setiap kali disentuh.
Buku ini menceritakan tentang kesakitan dan luahan perasaan seseorang mengenai peritnya mengalami kekecewaan, kehilangan, serta pengalaman pahit yang menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran dan kematangan dalam kehidupan.
Penulis menggunakan bahasa yang berpuitis dan emosional untuk menarik perhatian serta mengajak pembaca mendalami luahan atau curahan perasaan tentang “Si Kaca”.
KEISTIMEWAAN BUKU
Pada pandangan saya, buku ini merupakan sesuatu yang sangat indah dan menyentuh perasaan. Setiap daripada kita yang bergelar manusia di muka bumi ini pasti pernah merasai kehilangan dan kekecewaan.
Oleh itu, buku ini banyak mengajar saya untuk mengikhlaskan, menerima dan berdamai dengan takdir hidup yang telah ditentukan.
Secara jujurnya, buku ini mendorong kita untuk memahami bahawa proses menjadi matang dan dewasa itu amat perit.
Namun begitu, jika kita menerimanya dengan hati yang terbuka, serta belajar dan bangkit daripada kesilapan, kita mampu mencapai tujuan yang diinginkan dalam hidup.
SASARAN PEMBACA
Karya terbitan Iddin Ramli ini dihasilkan oleh seorang tokoh yang terkenal di Malaysia sebagai penulis buku, pempengaruh media sosial, penceramah motivasi dan pendakwah.
Beliau dikenali melalui penyampaian nasihat, motivasi, serta isi-isi dakwah kepada golongan muda dalam gaya yang santai serta mudah difahami.
Karya ini menyasarkan golongan dewasa yang masih berdepan dengan kelukaan, kesakitan dan kekecewaan.
Selain itu, karya ini diterbitkan sebagai inspirasi untuk seseorang belajar daripada pengalaman yang mematangkan.
KELEBIHAN BUKU
Pada pendapat saya, buku ini istimewa kerana menggunakan bahasa yang menarik dan emosional. Sebagai seorang yang mencintai bahasa Melayu, saya sangat tertarik dengan penggunaan bahasa serta emosi yang dibawa.
Emosi ini secara tidak langsung membuatkan saya mudah merasai setiap pengalaman dan luahan hati yang disampaikan.
Seterusnya, karya ini boleh menjadi refleksi dan motivasi kepada pembacanya. Setiap cerita dan curahan perasaan mengenai pahitnya kekecewaan, kehilangan dan luka di hati memberi peluang kepada seseorang untuk bermuhasabah diri serta belajar daripada pengalaman pahit bagi meneruskan kehidupan.
Akhir sekali, keistimewaan karya ini terletak pada tajuk buku itu sendiri, iaitu penggunaan istilah “Si Kaca”. Tajuk ini menggambarkan simbolik yang kuat tentang kerentanan dan kepedihan yang boleh memberi kesan mendalam, sekali gus menjadikan buku ini lebih berkesan dari segi psikologi dan emosi.
Kelemahan buku
Buku Curhat Perihal Si Kaca mempunyai satu kelemahan yang saya dapati, iaitu kurangnya plot naratif yang kuat. Buku ini lebih tertumpu kepada luahan hati, namun tidak banyak konflik atau jalan cerita yang kompleks.
Kekurangan ini menyebabkan sesetengah pembaca merasakan buku ini agak membosankan kerana lebih kepada curahan perasaan tanpa mengetahui kisah di sebalik luahan tersebut. Hal ini juga menyebabkan sesetengah pembaca sukar untuk benar-benar terhubung, terutamanya jika pengalaman mereka berbeza.
Cadangan Penambaikan
Cadangan penambahbaikan bagi buku ini ialah penulis diharapkan dapat menambahkan cerita atau situasi tertentu untuk menjadikan karya ini lebih menarik.
Selain itu, pembaca juga akan dapat mendalami pengalaman yang disampaikan melalui buku ini dengan lebih berkesan.
PENUTUP
Secara keseluruhannya, Curhat Perihal Si Kaca merupakan karya yang menyentuh hati dan memberi ruang kepada pembaca untuk merenung serta memahami emosi sendiri.
Buku ini berjaya menyampaikan luahan perasaan dan pengalaman pahit dengan cara yang mudah difahami, sekali gus menjadikannya sesuai untuk golongan muda yang sedang belajar menghadapi kekecewaan, kehilangan, atau cabaran hidup.



