KUCHING: Kelab yang semakin digeruni kredibiliti mereka, Machan FC, sah akan beraksi di pentas Liga M3 2024.
Penyertaan kelab tersebut bakal mencetuskan persaingan yang lebih kompetitif dalam kancah liga bola sepak Malaysia dengan adanya satu lagi wakil kelab dari Sarawak.
Presiden Kelab Bola Sepak Machan FC, Azizie Fauzi, memberitahu pihaknya telah menerima surat tawaran daripada pihak Amateur Football League (AFL) baru-baru ini untuk beraksi di pentas saingan Liga M3.
Menurut Azizie, hasil perbincangan yang diadakan pada mesyuarat pengurusan kelab baru-baru ini, bersetuju menerima tawaran tersebut selepas mempertimbangkan segala aspek.
“Kami (Machan FC) sah akan beraksi dalam kancah Liga M3 2024.
“Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan segala aspek,” ujar Azizie kepada Arena Suara Sarawak.
Nama Machan FC tidak asing lagi bagi peminat mahu pun penggiat bola sepak tempatan.
Kelab yang diilham dan dinaungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, itu mula menyerlah penampilannya ketika menyertai Liga Bola Sepak Zon Tengah Sibu 2022.
Kecemerlangan kelab tersebut berterusan apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir kempen Liga M4 2023 (Al-Ikhsan Cup).
Pencapaian tersebut dilihat luar jangkaan, namun kejayaan yang dicipta itu sesungguhnya boleh meletakkan nama Machan FC di kelas tersendiri.







