KUCHING: Persiapan kelab handalan Machan FC untuk menghadapi kempen Liga M4 2023 terus diperhebat.
Semalam, skuad yang semakin meningkat naik kredibilitinya menguji satu lagi kelab handalan dari Bintulu, Project Park menerusi aksi persahabatan yang berlangsung di Padang Sintetik Kelab Kidurong, Bintulu.
Kemenangan (2-1) berpihak kepada anak-anak buah Azizie Fauzi pada perlawanan tersebut. Dua gol dijjaringkan oleh Mohd. Adif Salim minit ke-30 dan 82.
Sambil, gol tunggal Project Park dijaringkan bintang sensasi mereka iaitu Samsu Alam Abdul Samad minit ke-52.
“Persiapan kami untuk memperkemas jentera sengenap posisi bagi menghadapi kempen Liga M4 2023 berjalan lancar. Semalam kami telah menguji kehebatan kelab handalan dari Bintulu (Project Park),” ujar Azizie kepada Arena Suara Sarawak.
Selain turut mengadakan beberapa aksi persahabatan, pemain pasukan terbabit seperti mana biasa fokus kepada latihan harian mereka.
“Latihan berjalan seperti biasa, dan selepas ini mungkin ada aksi pemanas badan lain dengan beberapa kelab handalan turut berlangsung,” tambah Azizie yang turut mengucap jutaan terima kasih kepada Penaung Machan FC, Allan Siden Gramong yang juga Adun Machan atas sokongan yang diberikan kepada kelab berkenaan.



