KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan semalam melancarkan Kempen #MadaniMembantu pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya sebagai inisiatif untuk memperkukuh usaha berterusan jabatan berkenaan dalam membantu rakyat.
Zulkifli menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata kempen tersebut juga bertujuan memastikan rakyat menerima bantuan dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata peruntukan RM2.6 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Belanjawan 2026 akan digunakan bagi pengurusan dan pemerkasaan hal ehwal Islam termasuk aspek pentadbiran, pembangunan dasar, pelaksanaan program dakwah serta pengukuhan institusi agama.
“Sokongan diberi sedaya upaya kepada masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz, institusi pondok, asnaf dan pelajar institusi agama melalui bantuan sara hidup, pendidikan serta pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI,” katanya menerusi hantaran itu.
Zulkifli berkata peruntukan segera RM200 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini pula adalah bagi kerja baik pulih, naik taraf dan penyelenggaraan sekolah agama serta maahad tahfiz di seluruh negara.
Menurutnya, semua inisiatif itu membuktikan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta dengan sokongan warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan rakyat Malaysia, Islam terus subur, mekar dan terjamin di negara ini.— BERNAMA



