ARTIKEL

Sagah ketika berucap sambil membacakan teks ucapan Premier sempena Majlis Perasmian Penangguhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2026 di DeTAR PUTRA, UNIMAS, di sini hari ini.

Mahasiswa perlu tingkat kemahiran seiring keperluan industri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pelajar diseru untuk sentiasa bersedia meningkatkan kemahiran, sekali gus meneroka bidang baharu dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat agar sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara tersebut penting kerana dunia pekerjaan hari ini sedang berubah dengan begitu pantas, dan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data, Internet Pelbagai Benda (IoT), automasi serta teknologi hijau sedang membentuk landskap ekonomi global yang baharu.

“Sarawak tidak mahu sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi berhasrat untuk menjadi pemain penting dalam ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi,” katanya.

Sagah menyempurnakan simbolik Perasmian Penangguhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2026.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Penangguhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2026 di DeTAR PUTRA, UNIMAS, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak kini sedang membangunkan pelbagai inisiatif strategik dalam bidang ekonomi digital, tenaga hijau, pembangunan hidrogen, pusat data, semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi masa hadapan yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Justeru, saya ingin menyeru para mahasiswa agar sentiasa bersedia meningkatkan kemahiran, meneroka bidang baharu dan mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat supaya sentiasa relevan dengan keperluan industri,” ujarnya.

Tambahnya, Sarawak kini juga sedang melalui satu fasa transformasi yang amat penting dalam sejarah pembangunannya dan ia bukan sahaja melibatkan pembangunan infrastruktur serta pertumbuhan ekonomi, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sagah merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat dan wakil yang lain.

“Pelbagai sektor ekonomi sedang berkembang pesat termasuk pembuatan bernilai tinggi, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pertanian moden, pelancongan, perkhidmatan serta industri berasaskan inovasi.

“Perkembangan ini juga membuka ruang yang luas kepada generasi muda untuk meneroka peluang kerjaya yang lebih dinamik dan berdaya saing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa dalam konteks inilah, mahasiswa dan graduan memainkan peranan yang amat penting kerana mereka bukan sekadar pencari pekerjaan, tetapi bakal menjadi pemimpin, pencetus inovasi dan penggerak utama kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

“Kita juga sentiasa meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara keutamaan utama dalam agenda pembangunan negeri.

“Kita percaya bahawa kemajuan sesebuah negeri tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga melalui keupayaan rakyatnya untuk mencipta nilai, meneroka ilmu baharu dan bersaing di peringkat global,” jelasnya.

Mengenai TRACE 2026, beliau berkata program seumpama ini memainkan peranan yang sangat penting dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dengan industri kerana ia bukan sekadar sebuah pameran kerjaya, tetapi merupakan platform yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami kehendak industri, membina rangkaian profesional serta meneroka peluang pekerjaan dan latihan yang tersedia.

“Saya berharap para peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada pada hari ini dengan berinteraksi secara aktif bersama para majikan, mendapatkan pandangan daripada pemain industri dan mengenal pasti hala tuju kerjaya yang ingin diceburi.

“Gunakanlah platform ini untuk membina keyakinan diri, memperluaskan perspektif dan mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar dan kompetitif,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa masa hadapan Sarawak terletak di tangan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing, serta yakin mahasiswa UNIMAS dan seluruh anak Sarawak mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dalam pelbagai bidang.

“Teruskan berusaha, tingkatkan kemahiran, rebut setiap peluang yang tersedia dan jadilah generasi yang bukan sahaja berjaya untuk diri sendiri, malah turut menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara,” tegasnya.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

BERITA TERBARU