KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan seorang lelaki atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pekerja warga Indonesia yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan.
Hakim Leonard David Shim memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung kes terhadap Alex Ujai, 35.
“Setelah meneliti semua surat cara, petisyen rayuan, alasan keputusan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pendengaran hujah kedua-dua pihak.
“Mahkamah mendapati bahawa tiada kesilapan yang boleh dirayu dalam keputusan dan tiada sebab yang kukuh untuk menganggu penemuan fakta yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
“Oleh itu, keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan dan rayuan ditolak,” katanya.
Terdahulu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan keputusan terhadap Alex pada 25 Jun 2024.
Pada 20 Jun 2024, Mahkamah Sesyen memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Indonesia, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu dengan menakut-nakutkan mangsa lalu mengambil permit kerja dan sebuah telefon bimbit mangsa di sebuah kuater pekerja syarikat pembinaan di Matang, sekitar 2.30 pagi, 3 Jun 2023.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Filanny Siji. Manakala, tertuduh diwakili Peguam Arthur Liang Dawat dan Elissa Effie.


