PENYANYI terkenal Indonesia, Maia Estianty, meluahkan keterujaannya selepas anak sulungnya, Al Ghazali, mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama.
Maia turut berkongsi panggilan istimewa yang ingin digunakan apabila bergelar nenek kelak.
Menurut Maia, beliau memilih panggilan “Oda”, diinspirasikan daripada panggilan dirinya sebagai bunda, manakala suaminya, Irwan Mussry, bakal dipanggil “Ody”.
“Oma Bunda (Oda) dan Opa Daddy (Ody) menunggu dengan sabar!” tulisnya di ruangan komen Instagram Al Ghazali.
Pilihan panggilan unik itu mencuri perhatian orang ramai, yang ratarata terhibur dan menganggapnya comel serta berbeza daripada kebiasaan.
Ruangan komen dibanjiri pujian yang memuji kreativiti Maia dan Irwan.
Sebelum ini, Al Ghazali berkongsi berita gembira bahawa dia dan isteri, Alyssa Daguise, sedang menantikan kelahiran anak pertama mereka.
Pasangan itu memuat naik video mengenakan busana serba putih, memperlihatkan perut Alyssa yang semakin membesar, dipercayai memasuki usia empat hingga lima bulan.
Kehamilan itu tentunya menjadi momen bermakna buat pasangan romantis tersebut, yang sering berkongsi perjalanan hidup mereka sejak awal perkahwinan.
Untuk rekod, Al Ghazali dan Alyssa selamat diijabkabulkan pada 16 Jun lalu dalam majlis pernikahan di Jakarta.
Al turut menyerahkan mas kahwin berupa bar emas 16.6 gram dan wang tunai sekitar RM10,000 sebagai simbol penyatuan cinta mereka.



