KUCHING: Setelah beberapa kali tertangguh, akhirnya penubuhan Majlis Penasihat Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) berjaya direalisasikan bagi memperkasa peranannya mengukuhkan keharmonian kaum di Sarawak.
Majlis yang dianggotai oleh ketua-ketua agama serta pemimpin sekitar 16 agama bukan Islam itu turut melantik Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku pengerusinya.
Menurut Uggah yang juga menteri bertanggungjawab Unifor, idea penubuhan majlis tersebut terpaksa ditangguhkan beberapa kali sebelum ini ekoran penularan pandemik COVID-19 dan perubahan dalam barisasn kepimpinan Unifor.
“Namun begitu, majlis ini amat mesti ditubuhkan kerana kami amat memerlukannya. Seperti kita sedia maklum, zaman sekarang amat mencabar dengan kemajuan teknologi yang menjadikan dunia tanpa sempadan.
“Oleh itu, saya sangat gembira kerana majlis ini akhirnya berjaya ditubuhkan dan diyakini akan memperkasa peranan kami dalam menyelesaikan isu dan permasalahan khususnya berkaitan agama dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan Majlis Penasihat UNIFOR, di sini, semalam.
Uggah memberitahu antara objektif penubuhan majlis tersebut adalah untuk menggalakkan sikap saling menghormati dan menerima perbezaan fahaman agama serta budaya masyarakat majmuk di negeri ini.
Kita tidak mahu masalah berlaku terutamanya berkaitan agama yang berasal dari luar negeri sehingga menimbulkan kekeliruan, kemarahan, ketidakharmonian atau perpecahan di kalangan rakyat kita.
Beliau berkata, majlis tersebut juga boleh membantu Unifor menyemak status serta perkembangan pelaksanaan projek yang diluluskan di lapangan.


