PERSEKUTUAN Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria, Australia, yang menarik diri tahun lepas.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataan pada Isnin berkata, tawaran itu merangkumi pelaburan kewangan yang besar menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) untuk menyokong perancangan bagi penganjuran edisi 2026 itu.
“Susulan undangan rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lepas, MOM telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai kemungkinan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas pembida yang menang iaitu Victoria, Australia menarik diri tahun lepas,” menurut kenyataan itu.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan sama berkata, CGA Malaysia berpandangan kerajaan perlu menimbangkan peluang sekali seumur hidup itu, di samping sokongan serta pelaburan kewangan berkaitan, meneruskan legasi kejayaan Malaysia yang pernah menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dan mengembalikan kemegahan negara dalam arena sukan dunia.
Menurutnya, dengan kemudahan bertaraf dunia sedia ada, Malaysia berupaya menjadi tuan rumah acara antarabangsa seperti Sukan Komanwel yang melibatkan 74 negara dan wilayah Komanwel.
Berita lanjut dalam epaper STSS.






