PUSA: Sejumlah RM1.27 juta diluluskan di bawah Dana Sejati Madani untuk disalurkan kepada 13 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar daerah ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dana tersebut bertujuan untuk membantu JKKK menjalankan aktiviti tertentu di kawasan masing-masing.
“Peruntukan ini bertujuan membantu melaksanakan program seperti pertanian pintar fertigasi cili, penternakan ikan tilapia merah, dan kemudahan sewaan peralatan,” katanya.

FACEBOOK Fadillah
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Sejati Madani Daerah Pusa di Dewan Rahmaniah Pusa, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menekankan agar JKKK memainkan peranan penting untuk memastikan dana yang disalurkan dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti seumpamanya.
“JKKK yang terlibat hendaklah memastikan peruntukan yang diberi diuruskan sebaik mungkin demi manfaat jawatankuasa dan penduduk setempat,” katanya.
Menurutnya lagi, sesebuah jawatankuasa boleh mempunyai kewangan yang kukuh sekiranya diurus dengan baik, seterusnya memberi kemudahan kepada masyarakat setempat.
“Namun, jika JKKK tidak mempunyai kepakaran dalam mentadbir urus dan mengembangkan kewangan, dapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pakar.
“Jangan malu bertanya dan cuba untuk mendalami ilmu pengurusan akaun serta perniagaan.
“Saya yakin apabila jawatankuasa mempunyai kepakaran urus tadbir kewangan, ia akan menjadi JKKK yang kuat dan berkembang maju hingga mampu membantu masyarakat secara menyeluruh,” jelasnya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu; ADUN Beting Maro, Razaili Gapor; dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.


