GUA MUSANG: Mangsa yang cedera parah dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Gua Sejuk, semalam, dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk menerima rawatan lanjut.
Bapa saudara mangsa, Mohamad Emerul Hakim Abdullah berkata Nur Balqis Abli, 21, mengalami beberapa kecederaan termasuk pendarahan pada bahagian kepala, hati dan paru-paru serta kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan ditidurkan.
Menurut beliau, beberapa imbasan CT yang dijalankan menunjukkan keadaan Nur Balqis semakin positif apabila kebocoran pada paru-parunya semakin mengecil. Doktor turut memaklumkan kesan lebam pada kepala dipercayai berpunca daripada kecederaan dan bukannya pendarahan dalaman, manakala lebam pada bahagian hati juga menunjukkan perkembangan yang baik.
Dalam kemalangan kira-kira 7 pagi semalam, ibu dan adik lelaki Nur Balqis antara tiga yang maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler. Seorang lagi mangsa yang maut ialah pemandu Myvi, Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.
Jenazah ibu dan adik Nur Balqis, Maria Yusoff, 42, dan Muhammad Ziekyr Iman Abli, 11, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melor Lama, Kota Bharu pada 10.30 pagi tadi. Jenazah Muhamad Syazwan Hakimi pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong, Melor, Kota Bharu pada 8.30 pagi seperti dilapor Bernama.






