Mangsa kebakaran Kampung Beladin dapat perhatian PEKIDA

LIMBANG: Nasib malang menimpa mangsa kebakaran di Kampung Belading dekat sini mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Limbang yang turun menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Ketua Ranting PEKIDA Bahagian Limbang, Amil Jamjam berkata, program yang dilaksanakan pada hari tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban mangsa rumah terbakar dengan menghulurkan sedikit sumbangan berupa barang keperluan harian serta sedikit wang ringgit.

“Selain menyampaikan sumbangan, Jemaah turut membantu bergotong royong membersihkan sekitar rumah yang terbakar.

“Diharapkan bantuan diberi akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa disamping memberi sedikit sinar keceriaan dalam mereka menempuh hari-hari mendatang,” katanya semasa ditemui Suara Sarawak.

Ujarnya, sumbangan yang disampaikan adalah hasil dari kutipan derma yang dilancarkan dalam kalangan ahli PEKIDA Limbang dan Miri.

Tambahnya, program ini sudah menjadi tanggungjawab sosial PEKIDA dalam menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada mereka yang ditimpa musibah.

“pihak PEKIDA Limbang akan sentiasa peka dengan musibah yang menimpa masyarakat setempat dan akan mencuba untuk menghulurkan bantuan semampu boleh,” ujarnya.

Suara Sarawak