ARTIKEL

Manusia nakhoda TEKNOLOGI AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Keupayaan manusia untuk membimbing dan mengawal teknologi merupakan penentu sebenar terhadap peranan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan kita hari ini.

Di sebalik arus kepesatan teknologi yang mendefinisikan kemajuan abad ke-21, AI muncul sebagai suatu kuasa transformasi besar yang tidak lagi boleh disekat.

Ia secara radikal mengubah cara kita belajar, bekerja, berkomunikasi, serta berinteraksi antara satu sama lain dalam ruang fizikal mahupun digital.

Namun begitu, di sebalik keterujaan dan fenomena global ini, masih wujud kelompangan pemahaman serta kekeliruan yang ketara dalam kalangan masyarakat mengenai hakikat sebenar AI serta sejauh mana batas keupayaannya.

Sebagai seorang pakar akademik yang lantang memperjuangkan penggunaan teknologi secara beretika, khususnya dalam landskap pendidikan, Dr Suhailah Mohamed Noor tampil memberikan perspektif yang segar dan realistik.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, menekankan bahawa masyarakat perlu sedar akan kedudukan sebenar AI dalam ekosistem digital yang semakin rencam agar tidak terperangkap dalam arus kemajuan tanpa arah tujuan.

“Perkara paling asas yang sering disalah faham oleh masyarakat awam ialah definisi AI itu sendiri.

“Hari ini, ramai pengguna secara automatik menganggap aplikasi popular seperti ChatGPT, Gemini atau Copilot sebagai gambaran keseluruhan AI, sedangkan hakikatnya aplikasi tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada payung besar teknologi ini,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut beliau, alat pintar yang sering kita gunakan hari ini diklasifikasikan secara spesifik di bawah kategori generative AI atau AI generatif.

Kekeliruan ini sering kali berpunca daripada strategi pemasaran teknologi tersebut yang diperkenalkan secara meluas kepada umum tanpa penjelasan teknikal yang mendalam.

“Apabila pengguna bertanya kepada sistem seperti ChatGPT tentang identiti AI, jawapan yang dijana sering bersifat umum tanpa meletakkan sempadan yang jelas bahawa ia hanyalah satu cabang daripada keseluruhan teknologi yang jauh lebih besar dan kompleks.

“Oleh itu, memahami struktur evolusi AI merupakan langkah pertama yang kritikal bagi setiap lapisan masyarakat,” jelasnya lagi.

Katanya, bagi melihat evolusi ini dengan lebih berstruktur, perkembangan AI boleh dibahagikan kepada beberapa fasa utama yang bermula dengan narrow AI atau AI sempit.

Tambahnya, fasa ini merangkumi teknologi harian yang telah lama digunakan tanpa disedari, seperti enjin carian Google, sistem navigasi Waze dan pembantu suara pintar seperti Siri, yang fungsinya sangat cemerlang, namun terhad dalam skop tugasan yang spesifik.

“Kita kini sedang melalui era AI generatif, iaitu sistem yang mula mampu berkomunikasi dalam bahasa manusia secara semula jadi serta menjana teks, imej dan kandungan baharu berdasarkan input pengguna.

“AI tidak akan mengatasi kecerdasan mutlak manusia sepenuhnya kerana teknologi ini tetap bersandarkan kepada input dan bimbingan akal manusia.

Fasa masa depan seperti General AI dan Super AI masih kekal dalam ranah teori dan penyelidikan,” ujarnya.

Dalam usaha memanfaatkan AI secara optimum, beliau mengakui kemahiran memberi arahan atau prompting menjadi kunci utama yang membezakan antara pengguna biasa dengan pengguna mahir.

Di sinilah wujud satu lagi kekeliruan dalam masyarakat apabila ramai menyangka istilah prompt berkait rapat dengan arahan pengaturcaraan yang rumit dan teknikal.

Tambah Dr Suhailah, dalam era AI moden, prompt hanyalah input dalam bahasa semula jadi manusia yang membolehkan sesiapa sahaja berinteraksi dengan AI tanpa memerlukan ijazah dalam bidang sains komputer.

“AI bukanlah pembaca fikiran.

Ia hanya memberikan respons berdasarkan apa-apa yang diberikan kepadanya. Oleh itu, kualiti input pengguna akan secara langsung menentukan kualiti output yang diterima,” ujarnya.

Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, beliau mencadangkan penggunaan teknik prompt chaining atau rantaian arahan yang melibatkan pembinaan tugasan secara berperingkat melalui dialog yang berterusan.

Katanya, pendekatan ini menjadikan interaksi dengan AI lebih bersifat kolaboratif dan bukan sekadar sehala.

“Melalui proses ini, pengguna bukan sahaja memperoleh jawapan yang lebih jitu, malah turut mengasah empat kemahiran abad ke-21 yang sangat penting, iaitu pemikiran kritikal dalam menilai jawapan, kreativiti dalam menyusun soalan, kolaborasi bersama entiti digital, serta komunikasi yang jelas dan terarah.

“Peralihan teknologi ini memberikan impak yang paling mendadak dalam dunia pendidikan apabila jurang antara pelajar yang terlalu bergantung kepada AI dengan pendidik yang skeptikal semakin jelas,” katanya.

Bagaimanapun, masalah utama timbul apabila pelajar menganggap setiap jawapan yang dijana oleh AI sebagai kebenaran mutlak tanpa menyedari bahawa AI boleh mengalami fenomena “halusinasi” yang menghasilkan maklumat tidak tepat atau berat sebelah.

Bagi mengatasi isu ini, Dr. Suhailah mencadangkan anjakan paradigma melalui pembelajaran cakna AI atau AI-aware assessment.

“Institusi pendidikan tidak boleh lagi bergantung kepada format tugasan tradisional yang mudah diselesaikan oleh AI dengan satu klik.

“Bentuk soalan dan tugasan perlu direvolusikan bagi menguji pemikiran aras tinggi, keupayaan analisis kritis, serta kefahaman konseptual pelajar secara mendalam,” katanya.

Di samping itu, dalam aspek etika dan integriti, konsep Human-in-the-Loop (HITL) merupakan garis panduan yang tidak boleh diketepikan.

Menurut beliau, konsep ini menekankan walau sehebat mana pun teknologi automasi yang dimiliki, manusia mesti sentiasa menjadi rantaian terakhir yang menilai dan mengesahkan setiap hasil akhir.

Khusus bagi golongan pelajar, kesedaran etika ini merupakan benteng yang menjaga integriti akademik mereka.

“Jika seorang pelajar tidak mampu menjelaskan, membentangkan atau mempertahankan hasil yang dijana oleh AI dalam tugasan mereka, maka hasil tersebut tidak wajar diiktiraf sebagai milik mereka sepenuhnya,” ujarnya.

Justeru, revolusi AI bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti sebagai ancaman, sebaliknya perlu didekati dengan penuh ilmu dan kebijaksanaan.

Perubahan radikal dalam landskap pendidikan dan industri masa kini menuntut kita untuk menjadi pemandu yang cekap, bukannya sekadar penumpang yang mengikut arus tanpa haluan.

Dengan memahami batas keupayaan teknologi serta menguasai teknik interaksi yang betul, kita berpotensi melahirkan generasi yang mampu memegang teguh nilai etika dalam dunia yang semakin dikuasai oleh teknologi.

AI ialah kenderaan, manakala manusia kekal sebagai nakhodanya.

Kita perlu membina generasi yang mampu berfikir dan terus memegang haluan sebagai peneraju masa depan teknologi dunia.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU