Manyantuni rakyat Pulau Kerto

SIBU: Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong bersama-sama ahli operasi pilihan rayanya semalam mengadakan sesi bertemu rakyat di Pulau Kerto yang turut dihadiri bekas Adun Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck.

Secara tradisinya, kawasan tersebut antara penyokong kuat SUPP kerana menyumbang sekurang-kurangnya 60 peratus daripada undi kepada parti itu sejak 1991.

Oleh itu, Dr Soon yang merupakan bekas Menteri Muda berkata, penduduk Pulau Kerto sentiasa menjadi kawan lama kepadanya.

“Pulau Kerto mempunyai persekitaran yang sangat baik yang boleh diubah menjadi tarikan pelancongan Sungai Rajang,” ujarnya. Beliau yang juga Penasihat SUPP Cawangan Dudong berkata, pulau tersebut memiliki pantai pasir putih yang indah dan unik.

“Saya berharap semua penduduk di sini memberikan sokongan padu kepada wakil rakyat sedia ada seperti anda menyokong saya,” ujarnya sambil menambah Ching Yong adalah pengganti politiknya.

Sementara itu, Ching Yong berkata, pilihan raya negeri akan datang adalah pertempuran antara GPS dan PH.

“Rakyat Sarawak mesti menyokong GPS kerana Kerajaan Sarawak benar-benar akan melindungi kepentingan negeri ini seperti autonomi imigresen, tanah, pendapatan yang diperoleh daripada petrol, minyak dan gas,” tegasnya.

Dalam majlis berkenaan, SUPP Cawangan Dudong turut membantu penduduk memohon Kenyalang Gold Card.

Suara Sarawak