MIRI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited dalam usaha bagi membantu melonjakkan pendapatan usahawan mikro berpendapatan RM300,000 setahun kepada usahawan kecil yang meraih pendapatan maksimum RM3 juta setahun.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, pihak agensi berkenaan (MARA) menyediakan pelbagai pembangunan modal insan dan kemudahan sokongan seperti pembiayaan premis perniagaan.
“Bagi pihak Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk pihak MARA Sarawak, kami telah mengenal pasti usahawan-usahawan yang berada dalam kelompok sebagai usahawan mikro.
“Justeru, kita hendak membantu bagi melonjakkan pendapatan usahawan mikro ini ke arah usahawan kecil.
“Sementara itu, MARA Sarawak juga telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan mikro di negeri ini dalam pelbagai program dan bantuan bagi melonjakkan lagi pendapatan mereka,” katanya ketika berucap semasa Program Winning Big Effective Growth Strategy 2024 di Hotel Dynasty di sini malam tadi.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa kira-kira 3,500 usahawan di Sarawak kini sedang menerima bantuan daripada MARA sama ada berniaga dalam 383 premis MARA, mendapat pinjaman atau geran daripada MARA serta aktif mengikuti latihan MARA.
Pada masa sama, beliau juga menggesa agar usahawan mikro segera merebut segala peluang yang disediakan serta merangka strategi perniagaan untuk melonjakkan pendapatan tahunan mereka.
Menjelas lanjut, beliau berkata bahawa antara yang boleh dilakukan adalah menilai pasaran atau kehendak dan keperluan perniagaan, mengambil kira pengalaman pelanggan serta merangka strategi untuk pengoperasian perniagaan termasuk penglibatan pekerja berkemahiran.
Mengenai program yang diadakan itu, beliau berkata bahawa ia dihadiri kira-kira 20 usahawan di sekitar Miri, dan ia memfokuskan kepada usahawan untuk mempelajari ilmu baharu mengenai perniagaan serta mendapatkan sijil yang berfungsi sebagai tiket untuk memajukan perniagaan.
Selain itu katanya, ia juga memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kepentingan inovasi perniagaan bagi meningkatkan prestasi pemasaran ke arah pendigitalan.


