ARTIKEL

PERSOALAN utama bukanlah sejauh mana kita mampu mengawal kehidupan warga emas, tetapi sejauh mana kita mampu mengekalkan makna dalam kehidupan mereka.

Martabat warga emas terpelihara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam arus pembangunan negara yang semakin pesat, Malaysia kini sedang berhadapan dengan realiti masyarakat menua. Perubahan ini bukan sekadar melibatkan pertambahan bilangan warga emas, tetapi turut menuntut perubahan dalam cara kita memahami kehidupan mereka.

Dalam usaha menjaga kebajikan dan keselamatan, wujud satu kecenderungan yang semakin ketara apabila keprihatinan bertukar menjadi kawalan yang berlebihan sehingga, tanpa disedari, mengehadkan ruang warga emas untuk terus hidup dengan bermakna.

FAKTOR persekitaran memainkan peranan penting dalam kehidupan warga emas.

Dalam kerangka penuaan aktif yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penuaan yang sihat tidak hanya bergantung pada aspek perubatan, tetapi merangkumi penyertaan aktif dalam kehidupan sosial, keselamatan serta peluang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Pendekatan ini menegaskan warga emas perlu dilihat sebagai individu yang masih mempunyai keupayaan, minat dan hak untuk membuat pilihan dalam kehidupan mereka. Namun, dalam realiti seharian, ramai warga emas berhadapan dengan situasi yang berbeza.

Atas faktor kesihatan atau kebimbangan keluarga, mereka mula dihadkan daripada melakukan aktiviti yang sebelum ini menjadi rutin.

Ada yang tidak lagi dibenarkan menghadiri majlis komuniti, berjalan ke tempat biasa atau berinteraksi secara bebas dengan rakan sebaya. Malah, penggunaan teknologi juga kadangkala disekat atas alasan keselamatan.

Walaupun niat ini berasaskan kasih sayang, keadaan ini boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kesejahteraan mereka.

Dalam bidang gerontologi, kesejahteraan warga emas difahami sebagai gabungan antara kesihatan fizikal, kestabilan emosi dan hubungan sosial yang berfungsi.

Penyelidikan menunjukkan pelibatan sosial yang berterusan mampu mengurangkan risiko kemerosotan kognitif, meningkatkan daya tahan emosi serta menyumbang kepada jangka hayat yang lebih panjang.

Sebaliknya, pengasingan sosial atau kekurangan interaksi boleh memberi kesan yang setara dengan faktor risiko kesihatan lain.

Salah satu elemen penting yang sering terjejas dalam situasi kawalan berlebihan ialah autonomi. Keupayaan untuk membuat pilihan, walaupun dalam perkara kecil seperti menentukan aktiviti harian, memberikan rasa harga diri dan identiti kepada seseorang individu.

WARGA emas bukan sahaja memerlukan perlindungan, tetapi juga peluang untuk terus hidup sebagai diri mereka sendiri

Apabila autonomi ini terhad, warga emas mungkin mula merasakan diri mereka tidak lagi mempunyai kawalan terhadap kehidupan sendiri.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh membawa kepada tekanan emosi dan meningkatkan risiko kemurungan.

Lebih membimbangkan, kesunyian yang dialami oleh warga emas tidak semestinya berpunca daripada ketiadaan orang di sekeliling.

Penyelidikan membezakan antara pengasingan fizikal dengan kesunyian emosi, yang keduaduanya boleh berlaku secara berasingan.

Seseorang boleh tinggal bersamasama keluarga, namun tetap berasa terasing apabila tidak diberi ruang untuk berinteraksi secara bermakna atau tidak dilibatkan dalam kehidupan seharian.

Kajian oleh National Academies of Sciences menunjukkan kesunyian kronik berkait rapat dengan peningkatan risiko penyakit kronik, kemerosotan fungsi kognitif serta kematian pramatang.

Pada masa sama, faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam kehidupan warga emas. Konsep penuaan aktif menekankan kepentingan untuk membolehkan mereka terus tinggal dalam komuniti yang dikenali, tempat hubungan sosial, rutin harian dan memori kehidupan terbina.

Perubahan persekitaran secara mendadak bukan sahaja menuntut penyesuaian fizikal, tetapi juga boleh mengganggu kestabilan emosi dan rasa identiti diri.

Dalam konteks masyarakat Sarawak yang kaya dengan nilai kebersamaan, potensi untuk menyokong warga emas sebenarnya amat besar.

Aktiviti komuniti, pertemuan sosial dan interaksi antara generasi boleh menjadi medium penting untuk mengekalkan pelibatan mereka.

Hubungan antara generasi bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas, tetapi juga kepada generasi muda yang dapat mempelajari nilai, pengalaman dan perspektif kehidupan yang lebih luas.

Namun, pendekatan terhadap warga emas perlu berubah daripada sekadar melindungi kepada memperkasa. Hal ini bermakna memberi ruang kepada mereka untuk terus membuat pilihan, terlibat dalam aktiviti yang diminati dan menyumbang mengikut kemampuan.

Pendekatan penjagaan berpusatkan individu yang semakin ditekankan dalam penjagaan moden mengiktiraf setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan yang berbeza, termasuk warga emas.

Akhirnya, persoalan utama bukanlah sejauh mana kita mampu mengawal kehidupan warga emas, tetapi sejauh mana kita mampu mengekalkan makna dalam kehidupan mereka.

Dalam ruang yang diberikan, walaupun kecil, terkandung rasa dihargai, dihormati dan diperlukan.

Dalam ruang itulah sebenarnya terletak asas kepada kesejahteraan yang sebenar. Warga emas bukan sahaja memerlukan perlindungan, tetapi juga peluang— peluang untuk terus hidup sebagai diri mereka sendiri, untuk terus terlibat dalam masyarakat dan untuk merasakan kehidupan mereka masih mempunyai nilai.

Dalam usaha membina masyarakat yang seimbang dan berperikemanusiaan, pemberian ruang ini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama-sama.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU