KETIKA sedang bermesyuarat minggu lepas, saya menerima mesej menunjukkan satu hantaran memberitahu seorang sahabat meninggal dunia. Namun rakan di depan segera memberitahu, hantaran itu salah orang dan sahabat saya masih hidup.
Selesai mesyuarat, saya melihat ramai yang berkongsi rasa sedih, namun, itu hanya pada waktu pagi masa hantaran itu dimuat naik. Ada juga yang menghantar mesej bertanya kesahihan. Pada petangnya, ramai rakan-rakan lama gembira kerana ternyata dia bukan orangnya sambil mengimbas kembali — keberadaan susuk yang dikata meninggal dunia — dalam kehidupan kami yang pernah menjadi wartawan di Utusan Sarawak dahulu.
Secara peribadi, saya agak rapat dengannya dan masih berhubung sampai hari ini. Hari pertama bergelar wartawan kadet, saya melapor diri dengannya. Orangnya tidak setinggi mana, sedang-sedang tinggi dan wataknya sederhana, namun, meninggalkan warna-warni kenangan kepada kami. Istimewanya, dia bukan seperti kita melihat figura atau seperti memandang tokoh, namun dia ada di tempat istimewa bagi kami semua.
Semua wartawan di bawah seliaannya pasti ada kenangan manis dan lebih banyak masam-masam manis. Itulah keistimewaan beliau. Tegurannya kadangkala tajam tetapi di situlah letaknya didikan santai. Gurauannya tidak berlebihan, namun, cukup untuk mencairkan tekanan kerja. Dalam diam, dia membentuk kami menjadi lebih pandai melihat cerita di sebalik berita.
Namun, kejadian info salah kematiannya mengajar sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kekeliruan. Dalam dunia yang bergerak sepantas hujung jari, berita kematian menjadi antara perkara paling mudah disalah erti dan paling cepat disebarkan. Barangkali kerana kita takut terlepas menjadi orang pertama yang tahu atau mungkin kerana emosi kita mendahului kewarasan.
Kita hidup dalam zaman iaitu satu butang kongsi boleh mengatasi seribu pertimbangan. Tanpa sedar, kita menjadi sebahagian daripada rantaian yang memanjangkan sesuatu yang belum tentu benar. Lebih membimbangkan, apabila berita itu melibatkan kematian, sesuatu yang sepatutnya ditangani dengan penuh hormat dan peka yang tinggi. Ia sering diperlakukan seperti sekadar bahan bualan.
Hakikatnya, berita kematian bukan sekadar maklumat. Ia menyentuh maruah, keluarga dan perasaan orang yang masih hidup. Bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga apabila menerima ucapan takziah untuk sesuatu yang tidak berlaku?
Bayangkan kekeliruan yang timbul apabila telefon menerima mesej bertalu-talu, sedangkan individu yang dikatakan pergi itu masih menjalani kehidupan seperti biasa.
Lebih berat lagi, bayangkan individu itu sendiri masih hidup tetapi dimatikan oleh perkongsian yang tidak disemak.
Walaupun mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah pihak, hakikatnya ia meninggalkan kesan emosi yang tidak kecil. Ia bukan sekadar kesilapan teknikal tetapi kegagalan kita menjaga adab dalam menyampaikan sesuatu berita.
Di sinilah pentingnya berhenti sejenak sebelum bertindak. Tidak semua perkara perlu kita respons dengan segera. Ada masanya diam dan menyemak lebih bermakna daripada pantas tetapi tersasar. Jika menerima berita sebegini, langkah pertama bukan menekan butang kongsi tetapi mencari kepastian.
Hubungi mereka yang rapat seperti keluarga terdekat, sahabat akrab atau individu yang benar-benar mengenali. Dalam dunia kewartawanan, kami diajar untuk mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sahih.
Prinsip itu tidak sepatutnya ditinggalkan hanya kerana kita kini berada di media sosial, bukan di bilik berita.
Saya ingin tambah satu perkara yang sangat dekat di hati saya. Jika suatu hari nanti ada khabar tentang kematian saya, orang pertama yang sepatutnya dihubungi ialah keluarga saya — bukan orang di luar rumah saya. Jika benar-benar terdesak, carilah individu yang rapat dengan saya, sahabat yang mengenali kehidupan saya dengan dekat, bukan sekadar kenalan yang tidak bertemu berbulan-bulan. Begitulah sepatutnya hal kematian itu dihebahkan — bermula daripada sumber yang paling hampir, paling sahih dan paling berhak.
Jangan bergantung kepada sumber yang tidak pasti, apatah lagi sekadar tangkap layar tanpa asal usul. Hari ini, sesiapa sahaja boleh menulis apa-apa sahaja. Namun, tidak semua yang ditulis itu benar. Keupayaan kita menilai dan menapis maklumat menjadi lebih penting daripada keupayaan kita menyebarkannya.
Jika tidak pasti, jangan kongsi. Prinsip ini kelihatan mudah tetapi sering diabaikan. Dalam keghairahan berkongsi, kita terlupa bahawa tidak semua perkara perlu disebarkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal hidup dan mati. Adakalanya, tidak berkongsi adalah satu bentuk tanggungjawab yang paling besar.
Kita juga perlu jujur mengakui bahawa ada unsur emosi dalam setiap perkongsian. Rasa terkejut, sedih dan simpati membuatkan kita ingin bertindak segera. Namun, emosi tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan kebenaran. Empati yang sebenar bukan sekadar meluahkan rasa, tetapi memastikan apa-apa yang kita sampaikan tidak menambah luka kepada orang lain.
Kesedihan pagi itu akhirnya bertukar menjadi tawa gembira pada sebelah petangnya. Kami mengenang kembali kenangan bersama, bergurau tentang berita kematian yang tidak menjadi kenyataan. Namun di sebalik ketawa itu, terselit satu pengajaran yang tidak wajar dipandang ringan. Tidak semua orang bernasib baik untuk menjadikan kesilapan sebegini sebagai kenangan lucu.
Ada yang terpaksa menanggung kesan lebih berat seperti hubungan yang terganggu, kepercayaan yang terhakis dan reputasi yang tercalar. Semua ini bermula daripada satu tindakan kecil: berkongsi tanpa menyemak.
Sebagai manusia, kita mungkin tidak mampu mengawal apa-apa yang orang lain tulis tetapi kita mampu mengawal apa-apa yang kita pilih untuk percaya dan sebarkan. Dalam dunia yang terlalu bising dengan pelbagai maklumat, memilih untuk berhati-hati menjadi satu bentuk kebijaksanaan.
Kadangkala, tindakan paling bertanggungjawab bukan menjadi yang terawal berkongsi berita tetapi menjadi yang paling berhati-hati. Menjadi yang terakhir berkongsi tetapi dengan maklumat yang tepat, jauh lebih bermakna daripada menjadi yang pertama, tetapi menyebarkan kekeliruan.
Mungkin sudah tiba masanya kita mengembalikan sedikit disiplin lama dalam cara kita berinteraksi dengan maklumat. Bertanya sebelum percaya. Menyemak sebelum berkongsi. Paling penting, memahami setiap perkongsian membawa implikasi, walaupun kelihatan kecil.
Kerana pada akhirnya, bukan soal siapa paling cepat, tetapi siapa paling benar. Dan dalam hal yang menyentuh kehidupan dan kematian, kebenaran itu bukan sekadar pilihan, ia adalah tanggungjawab.


