SARIKEI: Masih ramai penduduk di Sarawak belum menggunakan aplikasi Croc Watch secara aktif sebagai langkah pencegahan awal terhadap risiko serangan buaya yang semakin membimbangkan di sungai-sungai utama negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, aplikasi tersebut merupakan inisiatif penting kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kehadiran buaya di kawasan berisiko.
“Aplikasi ini dilancarkan dua tahun lalu dan boleh dimuat turun secara percuma. Ia membolehkan orang awam melaporkan lokasi penampakan buaya supaya komuniti dapat berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Pemantapan Jati Diri Belia Daerah Sarikei, hari ini.
Len Talif menjelaskan, walaupun isu kehadiran buaya bukan perkara baharu, masih ramai yang tidak mengambil tindakan proaktif seperti berkongsi maklumat melalui aplikasi atau menggunakan kemudahan yang disediakan.
“Permit untuk memindah atau menangkap buaya juga diberikan secara percuma kepada individu atau agensi berkaitan, namun tindakan hanya boleh diambil sekiranya lokasi penampakan dikenal pasti dengan jelas,” ujarnya.
Beliau turut menggesa masyarakat maritim dan penduduk setempat supaya memainkan peranan aktif dalam melindungi keselamatan diri dan komuniti melalui penggunaan aplikasi Croc Watch.
Menurut beliau, keselamatan komuniti terutama di kawasan pedalaman yang kerap berurusan di sungai perlu diberi keutamaan.
“Pemantauan secara digital seperti Croc Watch mampu menjadi alat sokongan berkesan bagi pihak berkuasa bertindak pantas dan efisien dalam mengurangkan ancaman buaya,” katanya.
Beliau juga berharap penglibatan aktif masyarakat akan mempercepatkan tindak balas pihak berkuasa bagi mencegah insiden yang tidak diingini.
“Kerjasama komuniti dan teknologi digital adalah kunci utama memastikan keselamatan bersama,” tambah beliau.






