Masyarakat Kuching patuhi SOP

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas kagum dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat di sini dalam memerangi penularan Covid-19.
Katanya hampir semua masyarakat telah dilihat memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, mendaftar maklumat diri ketika berkunjung ke premis dan melakukan pemeriksaan suhu badan.
“Ini adalah sikap yang sangat positif dan berita baik bagi Sarawak, orang ramai mematuhi SOP.
“Dengan kata lain, mereka memberikan kerjasama penuh untuk memerangi wabak ini dan saya sangat menghargai usaha itu.
“Kami berharap semua pasar dan pusat membeli-belah mempunyai standard kepatuhan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat pemeriksaan di Pasar Komuniti Kota Sentosa dan Stutong di sini, hari ini bagi melihat kepatuhan masyarakat terhadap SOP yang dibuat bagi mengekang penularan Covid-19.
Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut memuji komitmen yang dijalankan oleh para pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan untuk memastikan masyarakat terus mematuhi SOP.
“Kadang-kadang saya tahu ia adalah pekerjaan yang sukar, apabila ada orang tidak memakai atau lupa memakai pelitup muka.
“Tetapi sila gunakan pendekatan diplomatik untuk memberi nasihat atau mengingatkan mereka, jelaskan kepada mereka objektifnya adalah melindungi mereka dan keluarga mereka.

Uggah semasa meninjau Pasar Komuniti Kota Sentosa, hari ini.