ARTIKEL

Johnny Pang berucap pada penutupan Festival Makanan dan Kebudayaan Bintulu 2026 di Lasar Kenyalang pada Ahad.

Masyarakat Tionghoa Bintulu Diseru Kukuh Perpaduan Hadapi Cabaran Semasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Masyarakat Tionghoa di Sarawak khususnya Bintulu diseru supaya terus memperkukuh perpaduan dan mengelakkan perpecahan bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa termasuk penyusutan populasi.

ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kesatuan dalam komuniti itu amat penting bagi memastikan mereka kekal kukuh dan mampu berdepan cabaran masa depan.

Beliau menegaskan, sikap membezakan kepentingan individu perlu dielakkan kerana ia boleh melemahkan kekuatan masyarakat.

“Jangan ada sikap membezakan antara ‘ini milik saya’ atau ‘itu milik anda’. Jika kita berpecah, kita akan menjadi lemah. Hanya melalui perpaduan, kita mampu melangkah lebih jauh dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Festival Makanan dan Kebudayaan Bintulu 2026 anjuran Gabungan Persatuan Cina Berdaftar Bintulu (FORCA) di Lasar Kenyalang (tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu), pada Ahad.

Pengerusi FORCA Bintulu, Datuk Kong Kung Kwong(tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Johnny Pang.

Tambahnya, masyarakat Tionghoa perlu terus memainkan peranan dalam memelihara serta memartabatkan warisan budaya agar tidak hilang ditelan zaman.

Johnny Pang berkata penganjuran festival seumpama ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi platform penting dalam menghidupkan budaya melalui pelbagai persembahan, pameran serta pelibatan komuniti pelbagai lapisan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan makanan sebagai medium yang mampu merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan generasi muda agar berani memikul tanggungjawab dalam keluarga dan masyarakat serta terus menyumbang kepada pembangunan komuniti.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua jawatankuasa yang berjaya menganjurkan festival selama 10 hari tersebut dengan jayanya.

Beliau berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara serta memperkukuh keharmonian masyarakat.

:

BERITA LAIN

BERITA TERBARU