KUCHING: Pengunjung MATTA Fair Sarawak 2026 berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran perjalanan menarik termasuk promosi penerbangan dan pakej domestik serta antarabangsa pada pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), 22 dan 23 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sarawak, Dayang Azizah Abg Zaidan berkata, penganjuran selama dua hari tersebut menghimpunkan ejen pelancongan berlesen dan rakan industri pelancongan bagi memudahkan pengunjung membandingkan pakej serta merancang percutian mengikut bajet dan pilihan masing-masing.
Beliau berkata, Malaysia Aviation Group (MAG), bersama Malaysia Airlines dan Firefly, turut mengambil bahagian dengan menawarkan tawaran dan promosi penerbangan eksklusif menerusi ejen pelancongan yang dilantik.
“Keterujaan semakin meningkat untuk MATTA Fair Sarawak 2026, apabila pengunjung boleh mendapatkan idea percutian, tawaran perjalanan menarik serta pelbagai pakej domestik dan antarabangsa di bawah satu bumbung,” katanya pada sidang media sempena MATTA Fair Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Dayang Azizah berkata, MATTA mengalu-alukan usaha kerajaan meningkatkan kesalinghubungan udara kerana pilihan penerbangan yang lebih baik akan memudahkan perjalanan serta menggalakkan pergerakan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, sokongan MAG, RHB Bank Berhad, syarikat penerbangan, hotel dan rakan industri pelancongan lain memberi nilai tambah kepada penganjuran MATTA Fair Sarawak tahun ini.
MATTA Fair Sarawak 2026 berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam pada 22 dan 23 Ogos ini di BCCK dengan kemasukan percuma.






