MINAT dalam bidang penataan rambut mendorong Maxwel @ Muqri Laichek, 23, untuk terus berkecimpung dalam bidang tersebut sekali gus berjaya membuka kedai Maxx Barber Shop di Mukah.
“Selain minat, banyak permintaan daripada jiran tetangga, kawan-kawan serta keluarga yang datang ke rumah untuk perkhidmatan gunting rambut.
“Di sebalik minat, pemilik Sister Beauty Saloon yang banyak memberi tunjuk ajar, membimbing dan menyokong, memberi motivasi serta semangat sepanjang perjalanan, bidang ini menjadi inspirasi saya meneruskan perniagaan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dedahnya, dia memulakan perniagaan pada 2019 bertempat di premis Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) bersebelahan Terminal Bas Mukah.
Untuk terus berkecimpung dalam bidang ini, minat sahaja tidak mencukupi.
Buktinya, Maxwel menyertai banyak kelas kemahiran menggunting rambut sejak 2018.
“Saya mengakui, banyak menyertai kelas kemahiran seperti kelas anjuran RTC dari Sister Beauty Saloon dan Ajakcut Mukah pada 2018.
“Pada 2020, saya mengikuti Akademi Pusat Idaman Dhoori di Kuching dan 2021, menghadiri kursus asas gunting rambut daripada Cikgu Azahar Ali, Giat Mara, Petra Jaya, Kuching.
“Manakala pada 2022, saya menghadiri satu acara di Semenanjung Malaysia dan berkenalan dengan tukang gunting rambut seluruh Malaysia,” jelasnya.
Pada 2023, Maxwel menyertai Masterclass dibimbing oleh Pemilik Menspire UK di Kuala Lumpur Josh Lamonaca, kelas ‘Advance Master Fade’ anjuran Zero GapBarbers bersama-sama KitikBarbershop di Miri dan menyertai Kelas Gunting Look and Learn Old Skool and New Skool daripada Vinsthebarber Brands Brosh di Miri.
PENGALAMAN
Sehubungan itu, Maxwel juga lulus penuh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dalam bidang ‘barbering’ pada 2021.
“Saya juga pernah merangkul gelaran Johan untuk Pertandingan Sibu Barber Battle 2023 anjuran Kenyalang Tourism dan Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) di Sibu.
“Pada masa sama, saya dapat membuka, menjalankan perniagaan sendiri dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang berbakat dalam bidang ini.
“Ia antara pencapaian tertinggi yang saya kecapi sepanjang bergelar tukang gunting rambut,” katanya lagi.
Pada masa sama, dia juga berkongsi pengalaman bermakna seperti berpeluang menyertai Barber Expo Asia pada 2023 yang dihadiri oleh ramai tukang rambut hebat dan terkemuka dari Jepun, Thailand, United Kingdom, Brunei, Indonesia dan sebagainya.
Ujarnya, disebabkan gunting rambut lelaki merupakan salah satu perkhidmatan penting, permintaan agak tinggi dan tidak putus daripada pelanggan adalah perkara biasa bagi mereka.
Di samping itu, dia memberitahu, setakat ini masih bekerja sendiri dengan dibantu oleh seorang pekerja belia dan masih memerlukan tenaga mahir untuk menjaga kualiti dalam servis yang diberikan.
“Manakala, cabaran utama dalam bidang perniagaan masa ini adalah mengambil dan mengurus pekerja tetap yang mahir, berdisiplin dan komited.
“Sebagai usahawan yang baru berjinakjinak dalam bidang ini, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan seperti masa bersama-sama keluarga, melabur kewangan untuk mengembangkan dan menaik taraf perniagaan.
“Ekonomi semasa juga banyak memberi impak kepada peniaga dan pelanggan,” jelasnya lagi.
AKTIF
Dalam pada itu, bagi mengekalkan keaktifan dalam mengikuti gaya rambut terkini, dia sentiasa mengikuti trend daripada mentor dan idola dalam kalangan tukang gunting rambut yang berjaya, menghadiri kelas dan kursus walaupun perlu meluangkan masa serta mengeluarkan wang ringgit yang banyak demi menambah ilmu.
Tambahnya, dia berharap semakin ramai yang memahami bidang gunting rambut bukan sekadar menggunting dan mencukur semata-mata.
“Ia perkhidmatan yang beri keyakinan, perubahan diri pada individu untuk tampil lebih kemas, mempunyai personaliti menarik dengan hasil kerja yang kemas, halus berkualiti serta layanan baik secara tidak langsung memberi rasa positif kepada pelanggan,” tambahnya lagi.



