Mayat lelaki terjun di Pangkalan Feri Sungai Buluh Simunjan tersangkut pada pukat nelayan

SIMUNJAN: Mayat lelaki yang terjun ke sungai di Pangkalan Feri Sungai Buluh, Kampung Seruyuk Hulu di sini ditemui pada pukat nelayan petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Mat Undik berkata, pasukannya pencarian dan pemantauan sejauh 700 meter radius ke hilir sungai hanya menjumpai tapak kaki manusia yang disyaki mangsa berkenaan naik ke daratan bagaimanapun mangsa tidak dijumpai.

“Pada Khamis lalu, mangsa bergaduh dengan seorang lelaki dan melarikan diri terus terjun ke sungai.

“Ada orang awam yang sedang mengail ikan di sungai tersebut cuba menyelamatkan mangsa tetapi mangsa melarikan diri daripada diselamatkan oleh pengail tersebut dan mangsa di bawa arus sungai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, operasi SAR diaktifkan semula kerana terdapat petunjuk baharu mengenai laporan kehilangan orang diterima oleh pihak polis daripada keluarga mangsa.

“Setelah pencarian dijalankan oleh anggota SAR, mangsa yang dilaporkan hilang berjaya dijumpai di pukat nelayan oleh penduduk kampung.

“Mayat mangsa yang dikenali sebagai Jefri Ahmad, 30 di bawa ke pangkalan feri Sungai Buloh untuk pengesahan oleh pihak KKM dan anggota kelurga, jelasnya.

Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 2 petang tadi.

Suara Sarawak