KUCHING: Kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mencatatkan dua kes haiwan positif rabies pada minggu ini, iaitu pada 3 hingga 7 Februari 2025.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata salah satu kes berlaku di Taman Genesis di sini yang melibatkan kes anjing peliharaan mengigit manusia.
“Manakala, satu lagi kes rabies melibatkan anjing liar di Desa Wira, Jalan Batu Kawa,” katanya.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan jika digigit atau dicakar oleh haiwan yang dijangkiti rabies.
Rabies boleh dicegah dengan prolifaksis pasca pendedahan (PEP) yang boleh dilakukan segera bagi menghalang virus daripada menyerang sistem saraf pusat.
Menurutnya, PEP merangkumi tiga langkah utama, iaitu mencuci luka secara menyeluruh selama 15 minit dengan air sabun dan air mengalir, suntikan imunoglobulin rabies (RIG), dan pemberian empat dos suntikan vaksin rabies manusia.
“Suntikan diberi pada hari pertama, ketiga, ketujuh dan ke-14.
“Mangsa gigitan perlu segera mendapatkan rawatan di hospital bagi memastikan risiko jangkitan dapat dicegah,” jelasnya.
Dalam pada itu, JPVS turut menegaskan tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan dalam memastikan haiwan mereka dijaga dengan baik.
“Vaksinasi anjing adalah wajib, dan haiwan peliharaan tidak boleh dibiarkan berkeliaran bebas bagi mengurangkan risiko penularan rabies.
“Walaupun tidak diwajibkan oleh undang-undang, pemilik kucing juga disarankan mendapatkan vaksinasi bagi melindungi kucing mereka,” ujarnya.


