Sejak penubuhannya pada tahun 1974, peneraju sektor minyak dan gas nasional – PETRONAS – sentiasa dipacu oleh komitmennya untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat tidak kira di mana mereka berada. Objektif ini direalisasikan melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak sepanjang 2025 menerusi pelaburan modal insan untuk memperkukuhkan pembangunan komuniti yang mampan.
Sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, PETRONAS memahami kepentingan melahirkan generasi masa depan yang diperkasa dengan kepimpinan dan daya tahan, seiring dengan aspirasi kerajaan negeri.
Pendidikan: pelaburan strategik tingkat daya saing
Teras utama komitmen PETRONAS terhadap Sarawak berpaut pada agenda pendidikan. Pada tahun 2025, PETRONAS melabur sebanyak RM28 juta untuk tajaan pendidikan bagi menyokong lebih 100 pelajar cemerlang dari Sarawak untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi, dan perniagaan yang merupakan cabang ilmu yang kritikal kepada peralihan tenaga Malaysia serta berupaya untuk meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Melangkaui biasiswa, PETRONAS menekankan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan generasi masa depan yang bakal menerajui pembangunan ekonomi Sarawak. Sebahagian besar penerima tajaan pendidikan ini akan pulang kembali untuk menabur berbakti di Bumi Kenyalang sebagai jurutera, penyelidik dan usahawan yang akan menjadi pemangkin transformasi kepada kemakmuran ekonomi negeri.
Melalui program Memperkasakan Ilmu: “Back to School”, PETRONAS menyokong hampir 1,800 pelajar dari Kuching, Bau, Sibu, Bintulu, Miri, Lambir, Bario dan Mulu dengan sumbangan asas seperti pakaian seragam sekolah, kelengkapan pembelajaran, serta keperluan penting lain untuk membantu pembelajaran mereka. Bagi PETRONAS, transformasi bukan hanya sekadar bermula di bilik lembaga pengarah, sebaliknya bermula dengan asas ilmu apabila seseorang pelajar melangkah masuk ke dalam bilik darjah, membelek dan membaca buku.


di salah satu majlis yang berlangsung pada tahun 2025.
Memperkukuh daya tahan komuniti
Melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak dan agensi-agensi negeri, PETRONAS sentiasa bertindak pantas sekiranya sesebuah komuniti memerlukan sokongan segera.
Antaranya termasuklah ketika berlakunya bencana banjir besar yang melanda negeri itu pada awal tahun 2025 yang menyebabkan ribuan keluarga terpaksa dipindahkan, PETRONAS menerusi komitmen dan usahanya dengan pihak berkuasa negeri dan daerah menyalurkan bantuan kepada lebih 10,000 isi rumah yang terlibat.
Sumbangan berkenaan termasuklah peralatan kecemasan, sumber penyelamatan, serta bekalan keperluan asas untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir terjaga sepanjang tempoh kritikal tersebut.
Sepanjang tahun lalu juga, PETRONAS memberi sokongan berterusan terhadap keutamaan pembangunan negeri Sarawak. Melalui kerjasama dengan Persatuan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI), PETRONAS memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi tempoh 2023 hingga 2027 yang berperanan untuk melengkapkan 26 klinik kesihatan luar bandar dengan bekalan perubatan penting. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan akses kepada penjagaan kesihatan di kawasan pedalaman, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.
Sementara itu, sokongan sempena perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai turut memanfaatkan lebih 2,500 keluarga di pelbagai daerah melalui kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat-pejabat daerah bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.


Prinsip kerjasama seiring dengan keutamaan negeri
“Kami sentiasa peka terhadap keutamaan yang dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri dan rakyat di Sarawak. Perkara ini sekaligus dapat membantu pihak PETRONAS untuk menyelaras segala inisiatif secara lebih bersepadu dan strategik bagi menyokong matlamat bersama ini,” kata Norazibah Md Rabu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak.
“Pelaburan pendidikan bernilai RM28 juta ini mencerminkan keyakinan kami terhadap aset paling berharga Sarawak, iaitu bakat, potensi dan aspirasi anak Bumi Kenyalang. Inisiatif lain seperti bantuan kecemasan bencana dan sokongan penjagaan kesihatan akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan selesa untuk pembelajaran sambil mengukuhkan asas pembangunan insan agar mereka dapat berkembang sepenuhnya,” tambah beliau.
“Kerjasama sebegini dapat memastikan sumber sokongan terus kepada mereka yang sangat memerlukan. Ini bukan hanya sekadar berdasarkan andaian korporat, namun berpaksikan kepada realiti sebenar yang difahami oleh agensi negeri dan pemimpin tempatan.”

Membina masa hadapan yang lebih terjamin
Secara keseluruhan, inisiatif PETRONAS di Sarawak pada tahun 2025 telah menyentuh kehidupan lebih 21,000 individu – melalui pelaburan gabungan melebihi RM31 juta, di mana tajaan pendidikan merupakan komitmen tunggal terbesar.
Melangkah ke hadapan, PETRONAS dan Sarawak berpegang pada fokus yang sama dan jelas: membina keupayaan, mencipta peluang, dan memastikan kemajuan menjangkau setiap sudut negeri – dari Kuching hingga ke rumah panjang di kawasan pedalaman seterusnya ke serata pelosok negeri.
“Usaha ini akan diteruskan pada tahun 2026 berpandukan prinsip yang sama, iaitu pembangunan mampan melalui pembinaan keupayaan jangka panjang, di samping pembangunan bakat dan pemerkasaan komuniti,” ujar Norazibah.





