PENYANYI Mohamad Amirullah Jahari atau Amir Jahari menjadikan amalan membaca buku sebagai inspirasi menghasilkan lagu.
Katanya, pengalamannya menulis lirik diinspirasikan daripada beberapa buku.
“Dalam aspek penulisan berat seperti cerita tentang agama dan falsafah ada dalam buku ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’.
“Buku berjudul ‘Falsafah Syaitan, Falsafah Tuhan dan Falsafah Dunia’ penulisan Hamka.
“Buku tersebut menceritakan cara syaitan menghasut manusia,“ katanya ketika ditemui di Program Jom Baca bersama 10 Minit dan Dekad Membaca Kebangsaan 2024 di Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini.
Tambahnya, buku ‘Falsafah Syaitan’ banyak memberi pengajaran dan panduan di dunia.
Beliau pernah membeli buku ‘Antropologi’ iaitu ilmu tentang manusia, peradaban dan budaya.
“Ketika British yang masuk ke Sarawak di kawasan Matang dan belajar tentang pemburu kepala, ada cerita antropologi.
“Banyak ilmu diperoleh daripada buku yang kita tidak pernah tahu.
“Beli buku pasal ideologi membuka minda dan dada untuk membuat kajian, jangan terima bulat-bulat.
“Dalam lirik lagu, elemen paling penting namun bukan sesuatu yang mudah untuk pendengar,” katanya.
Mula menulis lirik sejak berusia 16 tahun, Amir sudah mencipta 8,000 lagu.
Jelas Amir, lebih banyak buku dibaca, lebih luas poket untuk tulis buku.
“Dalam lirik ada banyak elemen, jika kurang membaca, sukar untuk mendapatkan idea.
“Buku yang berkaitan idealogi sangat berat dengan bahasa yang bombastik.
“Jalaluddin Abumi dan Hamka, puisi dan kata-kata mereka dijadikan inspirasi untuk lirik album kedua, berjudul ‘Siang dan Malam’.
“Banyakkan bersosial dalam lingkungan yang membaca kerana mereka yang akan bawa kita membaca buku baharu,” tambahnya.



