ARTIKEL

MELODI MENGISI TABUNG HARAPAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI TENGAH-TENGAH kemeriahan lampu perayaan dan jualan hujung tahun, sukar untuk tidak merasakan bagaimana Krismas kadangkala lebih kuat diraikan sebagai musim hadiah berbanding musim memberi.

Namun, di Dewan Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) malam Sabtu lalu, semangat itu kembali kepada makna asalnya melalui penganjuran Christmas Charity Concert 2025: Carols of Peace, anjuran Kuching Choral Society (KCS) dengan kerjasama Kuching Concert and Marching Band Association (KCMBA).

Konsert yang menghimpunkan kelompok pemuzik terbaik dari Kuching dan luar negara itu bukan sekadar pentas hiburan hujung tahun.

Konsert tersebut turut menjadi ruang masyarakat menyuarakan solidariti melalui seni, tradisi yang mengingatkan kita bahawa Krismas ialah musim berkongsi, membantu dan menghidupkan harapan.

Dalam semangat itu, semua kutipan daripada konsert, termasuk sumbangan berjumlah RM15,000 disalurkan sepenuhnya kepada Home of Peace (HOP), rumah kebajikan warga emas di Jalan Landeh, Kota Padawan.

HOP menempatkan golongan miskin dan terlantar tanpa mengira agama atau bangsa. Seluas 5.35 ekar, rumah ini dimiliki sepenuhnya oleh Catholic Welfare Services Council Sarawak (CWS) dan diurus dengan bantuan Sisters of St. Francis of Sarawak (SSFS) bagi memastikan penjagaan harian penghuni.

Sejak penubuhannya pada 2009, HOP bermula dengan satu dewan aktiviti, sebuah dewan makan besar, dapur, bilik perbualan dan kuarters kediaman untuk 33 penghuni.

Peningkatan bilangan penghuni mendorong pembinaan fasa dua pada 2019, yang menambah dua blok kediaman yang mampu menampung sehingga 80 penghuni.

Kini, HOP menempatkan 44 warga emas dengan bantuan 30 kakitangan sepenuh masa, termasuk dua Sister SSFS.

Kos operasi rumah ini, yang hampir mencecah RM1 juta pada 2024, bergantung sepenuhnya pada derma awam dan program Friends of Hope, yang membolehkan ahlinya membuat sumbangan bulanan. 

Di luar dewan, para sukarelawan sibuk menyambut tetamu.

Di dalam pula, pentas diterangi cahaya sederhana, membenarkan tumpuan diberikan pada perkara yang lebih penting, iaitu muzik, mesej dan manusia.

Persembahan malam itu dimulakan oleh St. Joseph’s Private School Concert Band, yang mempersembahkan Fantasy on Deck the Hall, In the Bleak Midwinter, Have Yourself a Merry Little Christmas dan Sensei March.

Kumpulan muda ini membuktikan bakat dan disiplin mereka, membawa penonton ke suasana hangat perayaan sejak awal malam.

Seterusnya, persembahan solo memukau penonton dengan A Christmas Song oleh Jeffrey Tang serta Hang Belem (Bethlehem Cave) yang dibawakan oleh Loey Lê Phương Ly dengan iringan piano Benedict JC Lo.

Keintiman solo ini mengingatkan penonton bahawa Krismas juga tentang perhatian terhadap individu.

Kemudian, Kuching Wind Symphony menghidupkan malam dengan On a Winter’s Night, Concert March No. 1 – JOYOUS LIFE!, Twas the Night Before Christmas dan Russian Christmas Music.

Alunan mereka yang bertenaga menyuntik semangat dan kegembiraan, menghidupkan dewan dengan ritma yang memukau.

D’Quaver String Quartet menambah lapisan emosi melalui Always with Me (Spirited Away), Jingle Bells dan Pizz-a-tango and Roses dan Thorns.

Tekstur lembut biola mereka mengimbangi kekuatan vokal koral yang bakal muncul. Vocasan Choir dari Pusat Music Liturgy Yogyakarta kemudian mempersembahkan Dayuang Palinggam dan Tanö Niha, membangkitkan keindahan muzik liturgi dan menambah warna antarabangsa pada malam itu.

Apabila giliran Kuching Choral Society Choir tiba, mereka menyemarakkan dewan dengan Veni Veni Emmanuel, Angel’s Carol, Ding-a Ding-a Ding dan A Joyful Gathering of Carols. Harmoni mereka yang kaya menjadikan setiap lirik tentang damai, pengharapan dan belas kasihan terasa lebih bermakna kerana sumbangan malam itu disalurkan kepada HOP.

Kolaborasi KCS Choir dan D’Quaver String Quartet menampilkan And the Glory of the Lord (pianis Christine Lau) dan O Holy Night (solo Gabriel Thian, piano Clement Lim), mempersembahkan puncak emosi malam itu dengan gabungan vokal dan instrumental yang  menggetarkan.

Konsert diakhiri dengan persembahan grand finale melibatkan KCS Choir dan Kuching Wind Symphony di bawah pimpinan Wilson JL Tan melalui O Come All Ye Faithful.

Tepukan panjang bergema memenuhi dewan, bukan untuk virtuoso tertentu, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang menyatukan begitu banyak pihak demi tujuan mulia.

Di sebalik muzik dan sorakan, mesej malam itu jelas, iaitu Krismas bukan hanya tentang apa-apa yang kita dapat, tetapi apa yang kita beri.

Di HOP, mesej ini diterjemahkan setiap hari melalui penjagaan warga emas yang kurang bernasib baik, membuktikan bahawa memberi bukan sekadar hadiah, tetapi juga perhatian, kasih dan harapan. 

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU