ARTIKEL

Memahami sejarah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA mengikuti kursus sejarah sebagai subjek utama di Universiti Sains Malaysia puluhan tahun lalu, kami diwajibkan menelaah dua buku, iaitu What Is History (1961) karya E. H. Carr dan The Idea of History (1946) karya R. G. Collingwood.

Maka, ketika Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memetik dua karya agung berkenaan dalam Syarahan Negarawan, saya segera mengingat dua buku wajib dibaca itu. Dan ternyata, Tun Wan Junaidi boleh dianggap sebagai tokoh yang bukan sahaja meminati sejarah, tetapi begitu menguasai sejarah negeri, negara dan dunia. Tidak hairanlah beliau disifatkan banyak pihak sebagai ensiklopedia bergerak.

Carr menyifatkan sejarah sebagai “dialog yang tidak berkesudahan antara masa kini dengan masa silam”. Sejarah berkembang apabila ahli sejarah mengajukan persoalan baharu, meneliti bukti dan menilai semula tafsiran terdahulu. Itulah yang dilakukan oleh Tun Wan Junaidi dalam Syarahan Negarawan sempena Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak yang mendapat respons hangat daripada audiens dan rakyat. Beliau banyak mengemukakan soalan sejarah dan cuba menjawabnya dengan fakta.

R. G. Collingwood pula menegaskan bahawa “segala sejarah ialah sejarah pemikiran”. Bagi beliau, memahami sejarah memerlukan usaha menelusuri kembali pemikiran pelaku sejarah berdasarkan bukti. Kita perlu bertanya, apakah yang diketahui oleh mereka? Apakah pilihan yang tersedia? Dan, mengapa mereka bertindak demikian?

Dalam meneliti sejarah Sarawak, pendekatan itu mengajak kita memahami pertimbangan pemimpin, pejuang dan masyarakat pada zaman mereka, sebelum membuat penilaian dari sudut masa kini. Sebagai pelajar sejarah, kami diajar untuk tidak menjatuhkan penghakiman nilai dan moral berdasarkan keadaan dan kaca mata zaman kini kerana itu dianggap tidak adil bagi pelaku sejarah berkenaan.

Kedua-dua pemikir ini memberi asas penting kepada seruan Tun Wan Junaidi. Carr mengingatkan kita supaya terus menyoal dan meneliti masa lalu, sementara Collingwood mengajak kita memahami pemikiran manusia di sebalik peristiwa.

Sejarah Sarawak, dengan demikian, perlu dibaca sebagai pengalaman manusia yang sarat dengan pilihan, tekanan, harapan dan perjuangan. Untuk mengenal Sarawak dengan lebih mendalam, kita mesti mendengar suara masyarakatnya dan menguji setiap tafsiran dengan bukti.

Tun Wan Junaidi menekankan keperluan memperluas perspektif sejarah dengan mengangkat sumber dan suara tempatan. “Menulis semula sejarah Sarawak bukan bermaksud menukar fakta sesuatu hati,” tegas beliau.

Fakta sejarah tidak harus diherot-nyotkan. Beliau mengambil contoh dengan mengemukakan soalan, adakah pada 22 Julai 1963, Sarawak mendapat kemerdekaan atau itu tarikh Sarawak mendapat pemerintahan sendiri? Jawapan Tun Wan Junaidi jelas. Tarikh itu bukan tarikh Sarawak mencapai kemerdekaan.

Usaha meneliti sejarah mesti berasaskan bukti. Tujuannya termasuk melengkapkan kekurangan dan memperbetulkan kesilapan tafsiran, bukannya menghasilkan cerita yang menyenangkan pihak tertentu atau memenuhi kehendak politik semasa.

Bagi Carr, ahli sejarah dan fakta saling berinteraksi. Pemilihan sumber, pertanyaan dan tafsiran mempengaruhi sejarah yang ditulis. Namun, hal ini tidak memberikan kebebasan untuk memperlakukan fakta sesuka hati. Tafsiran perlu disertai disiplin dengan bukti sahih dan berwibawa. Apabila bukti baharu ditemukan, pemahaman terdahulu mungkin perlu diperincikan, diperluas atau diperbetulkan.

Dalam konteks Sarawak, dialog tersebut menuntut kita bertanya: Suara siapakah yang paling menonjol dalam penulisan sejarah? Adakah penduduk tempatan hadir sebagai manusia yang berfikir dan menentukan keputusan sendiri? Atau pengalaman mereka hanya muncul sebagai latar kepada tindakan pemerintah dan pendatbir?

Pertanyaan itu perlu disusuli penyelidikan yang tekun. Tentunya, seperti ditegaskan oleh Tun Wan Junaidi, sejarah Sarawak tidak bermula dengan kedatangan James Brooke pada 1839 seperti dipasakkan ke dalam minda kebanyakan kita selama ini.

Sumber luar tetap penting. Catatan pentadbir dan pengembara boleh memberikan maklumat yang berharga. Bagaimanapun, penulisnya mempunyai tujuan, kedudukan serta keterbatasan tertentu. Perkara yang dianggap penting oleh seorang pegawai mungkin berbeza daripada pengalaman penduduk kampung. Oleh itu, kita perlu membandingkan sumber, memahami konteks dan meneliti perkara yang tidak dicatatkan.

Kedua-dua pemikir ini membantu menjelaskan kepentingan mengenal semula sejarah Sarawak. Carr mengajak kita terus menyoal masa lalu, sementara Collingwood mengingatkan bahawa di sebalik peristiwa terdapat pemikiran manusia. Kata beliau: “All history is the history of thought.” Dengan demikian, sejarah menjadi medan memahami pilihan, perjuangan, kegagalan dan harapan yang membentuk perjalanan sesebuah masyarakat.

Saya melihat pengetahuan sejarah sebagai aset kematangan rakyat. Dalam membicarakan hak Sarawak, misalnya, semangat mesti disertai kefahaman tentang dokumen, perjanjian dan perkembangan perlbagaan. Hujah yang kukuh memerlukan penelitian. Sebab, tanpa pengetahuan, kita mudah menerima kenyataan yang membingitkan emosi walaupun asasnya belum diperiksa. Kita mudah tunduk kepada kenyataan palsu yang bermain dengan emosi.

Kisah Sarawak perlu memberikan ruang kepada pengalaman pelbagai kaum, wilayah dan lapisan masyarakat. Selain pemimpin, terdapat guru, petani, nelayan, pekerja dan wanita yang menyumbang kepada kehidupan bersama. Pengalaman mereka membantu kita memahami bahawa pembangunan dan perubahan lahir daripada banyak tangan serta pengerbonan.

Tun Wan Junaidi turut menekankan kepentingan manuskrip, salasilah, syair, sejarah lisan dan rekod peribadi. Bahan tersebut boleh memperluas pemahaman tentang pengalaman tempatan. Sekeping gambar keluarga, secupuk surat atau catatan harian mungkin membuka persoalan yang belum pernah diteliti oleh penyelidik. Khazanah seperti ini perlu dikenal pasti dan dipelihara.

Namun, cerita yang diwarisi mesti diperiksa. Ingatan boleh tersilap dan tarikh boleh bercampur. Beliau mengingatkan bahawa sejarah sebagai ilmu memerlukan sumber, perbandingan serta pentafsiran yang jujur. Sejarah lisan perlu dibandingkan dengan dokumen dan kesaksian lain supaya pengalaman yang berharga dapat difahami dengan lebih tepat.

Seruan beliau untuk memperhebat pengumpulan, pendidikan dan penerbitan sumber sejarah sewajarnya diterjemahkan kepada program berterusan. Universiti, muzium, arkib, perpustakaan dan komuniti perlu bekerjasama. Keluarga yang menyimpan bahan lama juga boleh menyumbang. Pendidikan hendaklah disertai maklumat tentang penting, tarikh, tempat dan asal usul bahan.

Dokumen atau artifak sejarah yang hilang, sama seperti memori kolektif yang sudah terpendam bersama jasad tokoh dan individu, tidak akan mungkin dapat digali kembali. Jadi, harus ada kesedaran tentang kepentingan sejarah, termasuk perlunya memelihara dokumen dalam kalangan rakyat.

Usaha ini memerlukan peruntukan, tenaga terlatih dan kesinambungan. Kita tidak boleh hanya bersemangat ketika persidangan berlangsung, kemudian membiarkan cadangannya terhenti.

Penyelidik perlu menghasilkan penerbitan yang sampai kepada pembaca. Sekolah dan media pula dapat menghubungkan penemuan tersebut dengan kehidupan masyarakat melalui cerita yang jelas, menarik dan bertanggungjawab.

Sejarah perlu dekat dengan generasi muda melalui buku, dokumentari, pameran dan pengajaran yang menarik. Anak Sarawak patut mengenali perjalanan kampung, sungai dan masyarakat mereka. Masa depan akan lebih bermakna apabila dibina dengan kesedaran tentang masa lalu.

Mengenal sejarah ialah amanah memelihara ingatan, supaya kemajuan Sarawak mempunyai akar dan arah. Kita harus mengingati sejarah diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara kita untuk mengelak daripada mengulangi kesilapan masa lalu, dan lebih penting untuk belajar daripadaNya. Jika tidak, kita pasti akan dihukum dengan mengulanginya.

* Dato Dr Jeniri Amir ialah penelelah sejarah dan sentiasa menganggap sejarah sebagai penting untuk penulisan dan pemahaman politik negara dan dunia.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU