ARTIKEL

KENANGAN... Merakam gambar kenangan bersama-sama ahli-ahli kelab sebagai dokumentasi.

Memancing bukan sekadar hobi

ADIBFAHMY FATHULLAH PELATIH UNIMAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Minat yang tersemat dalam diri seseorang mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan sekiranya disertai dengan usaha dan kesungguhan yang berterusan.

Siapa sangka, hobi yang pada awalnya sekadar mengisi waktu lapang akhirnya mampu membuka jalan kepada pencapaian yang membanggakan.

Bagi sesetengah individu, memancing mungkin dianggap sebagai aktiviti membosankan kerana memerlukan kesabaran dan masa yang lama untuk memperoleh hasil.

Namun bagi Dolmadi Abdul Latip, atau lebih mesra disapa Wak Dol, memancing bukan sekadar hobi, sebaliknya satu aktiviti yang sarat dengan pengalaman, kenangan dan cerita yang tidak ternilai harganya.

Pemancing berusia 56 tahun itu turut berkongsi minatnya dalam dunia memancing udang, selain mengimbau sejarah penubuhan Kelab Pemancing Sungai Lajim (KEPSUL) yang kini menjadi platform menghimpunkan kaki pancing di Sarawak.

Menurut Wak Dol, idea penubuhan kelab tersebut tercetus hasil inspirasi daripada Kelab Pemancing Udang Malaysia yang telah lama bertapak dan aktif dalam komuniti pemancing di negara ini.

“Dahulu, usaha menubuhkan KEPSUL digerakkan oleh seorang pemancing yang juga merupakan ahli Kelab Pemancing Udang Malaysia.

“Beliau menyuarakan hasrat untuk menubuhkan sebuah kelab memancing di Sarawak kerana ramai kenalannya sering turun memancing di sungai yang sama,” katanya.

Tambahan pula, KEPSUL ditubuhkan enam tahun lalu bukan sahaja menjadi platform menghimpunkan pemancing berkongsi minat yang sama, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

Menurut Wak Dol, majoriti ahli kelab tersebut merupakan penduduk Kampung Nombor, manakala selebihnya datang dari pelbagai kawasan lain di negeri ini.

Walaupun tidak semua ahli memiliki bot sendiri, perkara itu tidak pernah menjadi halangan kerana mereka sentiasa mengamalkan semangat kerjasama dan saling membantu ketika turun memancing.

Sepanjang penubuhannya, KEPSUL turut aktif menganjurkan pelbagai pertandingan dan aktiviti yang berjaya menarik penyertaan komuniti pemancing.

Menurut Wak Dol, salah satu pencapaian yang paling membanggakan ialah apabila dokumentasi aktiviti kelab tersebut pernah dibentangkan di Rusia sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan pelancongan Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Empat tahun lalu, kelab kami bekerjasama dengan sebuah kementerian untuk menganjurkan pertandingan memancing di sungai Kuching, Sarawak.

“Pertandingan itu bertujuan memilih Raja Udang baharu berdasarkan jumlah dan berat tangkapan yang berjaya diperoleh peserta.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana ia merupakan pertandingan terbesar yang pernah dianjurkan oleh kelab kami sehingga dapatan program tersebut dibawa untuk dibentangkan di Rusia,” katanya.

Bukan sekadar melaksanakan aktiviti tahunan sebagai sebahagian daripada takwim kelab, KEPSUL juga aktif menganjurkan pelbagai aktiviti santai pada setiap hujung minggu di Pangkalan Sungai Lajim.

Selain itu, Wak Dol bersama-sama pengerusi KEPSUL pernah mewakili kelab tersebut dalam Pertandingan Memancing Udang Silaturahim Malaysia yang berlangsung di Raub, Pahang.

Mengimbau pengalaman tersebut, Wak Dol berkata antara kenangan yang paling sukar dilupakan ialah apabila peserta lain terkejut melihat kehadiran mereka kerana mereka berdua merupakan satu-satunya wakil dari Borneo yang menyertai pertandingan berkenaan.

Baginya, minat mendalam terhadap sesuatu hobi mampu melahirkan komitmen luar biasa apabila seseorang sanggup meluangkan masa, membelanjakan wang dan mengerah tenaga semata-mata untuk menimba pengalaman serta memperluas jaringan persahabatan.

Selain aktif dalam dunia memancing, Wak Dol percaya setiap usaha yang dilakukan akan memberikan manfaat sekiranya dilaksanakan dengan niat dan tujuan yang baik.

Baginya, minat yang sihat bukan sahaja mampu memberikan pengalaman yang bermakna, malah mewujudkan kepuasan serta nilai persahabatan yang sukar dicari ganti.

“Meskipun usaha kami belum sampai ke peringkat antarabangsa, saya berharap perkara yang dilakukan ini dapat memberi manfaat kepada pemancing tempatan yang mempunyai minat mendalam dalam bidang memancing.

“Dalam dunia memancing, hubungan silaturahim memang menjadi perkara biasa. Jadi, apa salahnya jika kita teruskan perkara yang baik demi manfaat bersama,” katanya.

Sementara itu, beliau kini mengenali ramai pemancing dari kawasan Baraj Bintawa hingga ke Keranji, sekali gus membuktikan hobi tersebut mampu menjadi medium untuk merapatkan hubungan dalam masyarakat.

Di sebalik pelibatannya yang menjangkau puluhan tahun, Wak Dol mengakui beliau tidak pernah berasa jemu dengan dunia memancing kerana aktiviti tersebut sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Menurutnya, walaupun ramai yang mungkin berasa bosan melakukan perkara sama dalam tempoh lama, minat mendalam terhadap memancing membuatkan beliau terus bersemangat untuk meneruskannya.

Apabila ditanya mengenai rahsia di sebalik semangat tersebut, Wak Dol tanpa berselindung mengakui dirinya seorang pemancing tegar yang menjadikan aktiviti itu sebagai sebahagian daripada rutin hidup sejak zaman bujang.

Pada masa sama, beliau sentiasa memastikan minat tersebut tidak mengganggu tanggungjawab harian yang perlu dilaksanakan.

Berkongsi harapannya, Wak Dol mahu melihat KEPSUL terus berkembang dan kekal relevan pada masa hadapan.

“Saya berharap agar kelab ini terus kekal dan berkembang kerana saya memperkenalkannya kepada ramai orang luar supaya mereka turut menyertai komuniti ini.

“Kepada ahli yang sedia ada, kekallah bersama kelab ini dan teruslah membawa perubahan supaya segala usaha yang dicurahkan dapat diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan sekiranya diberi peluang untuk mewakili Sarawak sekali lagi, beliau dan ahli kelab akan menyambut peluang tersebut dengan penuh rasa syukur kerana pengalaman sedemikian amat berharga buat komuniti pemancing.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU