Setiap tahun pada 23 April, kita menyambut Hari Buku Sedunia sebagai simbol penghargaan terhadap ilmu, penulisan dan budaya membaca.
Namun, dalam era digital yang semakin pesat, sambutan ini turut menimbulkan persoalan besar: sejauh manakah masyarakat hari ini masih menjadikan amalan membaca sebagai rutin harian?
Perubahan teknologi mengubah cara manusia mengakses maklumat, sekali gus mempengaruhi tabiat membaca yang semakin beralih daripada buku fizikal kepada bahan digital.
Realitinya, generasi kini lebih cenderung mendapatkan maklumat melalui media sosial serta platform dalam talian yang menawarkan akses pantas dan mudah.
Berita semasa, isu global dan pelbagai bentuk penulisan kini boleh diperoleh hanya di hujung jari tanpa perlu menelaah buku secara mendalam.
Walaupun pendekatan ini menjimatkan masa, ia turut menimbulkan kebimbangan terhadap penurunan minat membaca bahan bercetak yang lebih tersusun dan menyeluruh.
Namun begitu, masih terdapat golongan yang mengekalkan amalan membaca sebagai rutin harian, sama ada melalui surat khabar, buku fizikal atau bahan digital.
Kepelbagaian medium ini menunjukkan budaya membaca masih relevan, cuma perlu disesuaikan dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, Hari Buku Sedunia seharusnya menjadi titik tolak untuk memperkukuh minat membaca melalui pendekatan yang lebih kreatif dan inklusif agar masyarakat terus menghargai ilmu dalam apa-apa jua bentuk.
Bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang tabiat membaca dalam kalangan masyarakat, penulis menemubual beberapa individu daripada pelbagai latar belakang.
Menurut mahasiswa Putera Nera, 27, amalan membaca kini lebih cenderung kepada pembacaan melalui media sosial kerana ia lebih mudah diperoleh.
“Misalnya, sebagai pengguna media sosial, kami boleh membaca berita terkini dengan lebih pantas menerusi paparan berita dalam talian di pautan agensi berita di dalam dan luar negara.
“Boleh dikatakan saya jarang menelaah buku dan banyak bergantung pada video YouTube untuk mencari maklumat.
Buku hanya dirujuk apabila benar-benar diperlukan, contohnya untuk tugasan universiti,” katanya.
Bagi mengekalkan minat membaca dalam kalangan masyarakat, Putera Nera mencadangkan pendekatan yang lebih santai dan praktikal.
“Salah satu cara yang boleh dilaksanakan untuk memastikan minat membaca buku tidak hilang ditelan zaman adalah dengan menganjurkan pertandingan penulisan yang menarik dalam kalangan masyarakat mengikut isu semasa.
“Dengan inisiatif demikian, saya percaya orang ramai akan mula berminat membaca dan mencari bahan rujukan yang mendorong mereka untuk memulakan tabiat membaca secara berkala,” katanya.
Menurut sukarelawan bebas, Kalthoum Adni, 48, beliau membaca hampir setiap hari, sekurang-kurangnya antara 30 minit hingga satu jam.
Selain itu, beliau juga gemar membaca artikel ringan, bahan motivasi, kisah inspirasi serta sedikit buku ilmiah berkaitan kesihatan dan psikologi.
“Dari segi medium, saya lebih suka membaca secara fizikal seperti buku, namun saya juga mula menggunakan telefon untuk membaca artikel dalam talian seperti berita dalam talian dan jurnal elektronik kerana lebih mudah diakses.
“Saya biasanya membaca pada waktu pagi atau sebelum tidur kerana suasananya lebih tenang dan memudahkan saya fokus,” katanya.
Tambah Kalthoum, membaca sangat penting kerana dapat mengekalkan minda aktif, menambah ilmu, mengurangkan tekanan dan memberi inspirasi dalam menjalani kehidupan seharian.
Menurut wartawan, Mohamad Haziq Azhar, 34, beliau gemar membaca buku ilmiah dan artikel kerana kandungannya memberikan pengetahuan yang lebih mendalam.
Dari segi medium, beliau lebih memilih buku digital kerana mudah diakses melalui telefon bimbit dan mudah dibawa ke mana-mana.
“Saya biasanya membaca pada waktu malam kerana waktu itu lebih mudah untuk memahami dan menghayati kandungan bacaan.
“Bagi saya, membaca sangat penting kerana dapat membuka minda serta mengasah akal pemikiran,” katanya.
Secara keseluruhannya, sambutan Hari Buku Sedunia bukan sekadar bersifat simbolik, tetapi perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk meningkatkan budaya membaca dalam masyarakat.
Walaupun landskap pembacaan berubah selari dengan kemajuan teknologi, minat terhadap ilmu masih wujud dan perlu dipupuk melalui pendekatan yang lebih relevan dengan keperluan semasa.



