Meno’ sebuah lagu kerinduan

PENYANYI sape Alena Murang kini mengeluarkan single terbaru dan video muzik berjudul Meno’ pada 29 Januari lalu di YouTube.

Ini lagu kerinduan, untuk kampung dan keluarga, katanya.

Menurut Alena, lagu tersebut diilhamkan oleh lagu yang dinyanyikan oleh nenek moyangnya ketika mereka melakukan perjalanan perdagangan yang panjang dari tanah tinggi ke pantai Miri yang mengambil tempoh berminggu-minggu dari rumah.

Menceritakan lanjut, nenek moyangnya pergi mengembara menggunakan perahu panjang melalui jeram, hutan tebal, tidur di kampung atau di hutan semasa dalam perjalanan.

“Pada masa seperti ini mereka menyanyikan belian meno’ (lagu-lagu lucu), sejenis lagu Meno’ yang rindu, dalam bahasa Kenyah adalah emosi kerinduan, memikirkan sesuatu atau seseorang yang tidak ada di sana,” ujarnya.

Alena menjelaskan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia sering merantau ke luar negara dan selalu menyanyikan lagu itu di atas pentas.

Pada masa itu, dia juga memikirkan betapa rindunya dengan kampung halaman.

Kini, berpusat di Kuala Lumpur, dan pada tahun lalu dan dia tidak dapat pulang ke kampung. Dia tidak sangka keadaan itu memberi kesan besar kepadanya.

“Saya balik kampung sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk melihat keluarga, berhubungan semula dengan tanah, melakukan penyelidikan, dan itu menjadi keinginan saya.

“Saya sangat merindukannya dan saya tidak sabar untuk kembali, tetapi buat masa ini kita harus memastikan semua orang, terutama kawasan pedalaman, selamat daripada virus,” katanya.

Meno’ merupakan single kedua yang dikeluarkan untuk menantikan album barunya.

Rakaman album ini disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai sebahagian daripada projek Roads To Our Heritage dan Yayasan Kebudayaan Dayak.