TAHNIAH kepada 16 wartawan kami kerana berjaya membawa pulang anugerah yang nilainya sekitar RM50,000 termasuk hadiah utama Anugerah Premier dengan wang tunai RM5,000 dalam Anugerah Kewartawanan Sarawak 2024.
Membolot 24 kemenangan bukan perkara biasa kerana ia luar biasa.
Dan, kemenangan itu tidak datang bergolek sebaliknya dengan tekad dan harapan besar.
Saya kongsikan bagaimana kisah ibu muda dan dua anaknya terkandas di Filipina selama empat tahun memenangi Anugerah Premier bagi tahun ini.
Saya ingin mengimbas kembali bagaimana kami bertuah kerana kisah yang menerima Anugerah Premier itu datang kepada kami, bukan kami yang mencarinya.
Ceritanya bermula apabila suatu hari saya menerima panggilan telefon daripada NGO yang prihatin dengan kisah seorang ibu tunggal meminta bantuan untuk membawa pulang anak dan dua cucunya di Filipina yang terkandas sejak penularan COVID-19.
Saya jemput ke pejabat, bersama-sama wartawan serta jurugambar kami.
Saya jemput setiap kumpulan akhbar kami termasuk bahasa Inggeris dan bahasa Iban serta stesen televisyen.
Kami mengadakan panggilan video langsung melalui emaknya terus ke bandar Rizal, Filipina.
Di dalam video itu, gadis muda cantik menjawab panggilan emaknya. Kelihatan seperti di dalam bilik empat segi yang boleh disamakan dengan reban ayam.
Di dalam bilik itulah dia terkandas selama empat tahun tanpa pekerjaaan kerana pasportnya ditahan Kerajaan Filipina.
Dia bertanya kepada ibunya, “Ma, bila kami boleh balik?”
Ibunya terus sebak dan wartawan yang ada di situ turut menangis melihat keadaan bilik serta mendengar luahan rasa anaknya.
Sesi temu bual itu berlangsung dalam suasana hiba.
Ketika pulang, ibu bersalam dengan saya dan berbisik — tolong guna kuasa media bawa anak dan cucu saya pulang.
Dia menangis memeluk saya. Dia seorang ibu tunggal yang kuat.
Setiap dua hari dia memasukkan RM150 ke dalam akaun bank jiran anaknya.
Kalian kira jika empat tahun, berapa duit yang ibunya hantar kepada anaknya setiap dua hari.
Dia pernah memohon bantuan NGO sebelum ini, tetapi tiada jawapan.
Di sini peranan media terbukti penting.
Kata pujangga, aku lebih takut dengan seseorang yang memegang pena (penulis) daripada perajurit yang bersenjatakan lengkap.
Maka, betullah sebaik laporan eksklusif itu keluar untuk siri pertama pada akhir Januari 2024, ia mendapat perhatian ramai termasuk Kerajaan Sarawak, menteri sehingga kepada orang terpenting di Dewan Negara.
Saya sendiri menerima panggilan daripada seseorang yang berpengaruh.
Ketika itu beliau di Putrajaya yang meminta data peribadi termasuk ibu tunggal yang kami telah siar.
Beliau rela hati memohon terus ke duta kita di sana.
Pagi, beliau meminta maklumat, petangnya serombongan pegawai ke bandar Rizal memindahkan ibu muda dan dua anaknya ke tempat lebih selamat dengan pemantauan rapi.
Dan, saya menerima beberapa keping gambar mengenai perpindahan itu.
Saya katakan kepada wartawan kami, tulis sehingga kita berjaya membawa mereka kembali sekurang-kurangnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Yang kami mahu, nama Suara Sarawak terpahat dalam sejarah — bagaimana kami membantu menyampaikan kepada kerajaan, menyampaikan kisah sedih bahawa rakyat kita sedang menderita di negara orang.
Siapa sangka, tiga minggu sebelum Ramadan, jam 11.00 tengah malam, kapal terbang membawa ibu muda dan dua anaknya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disambut ramai wartawan dan stesen televisyen termasuk menteri yang bertanggungjawab.
Esoknya, ibu tunggal itu membawa anak dan cucunya ke pejabat kami kerana dia berjanji, orang pertama yang harus anaknya temui adalah kami — Suara Sarawak.
Kerajaan kita bukan membawa pulang dengan tangan kosong.
Sudah semestinya memerlukan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan sana dengan kos yang tinggi.
Jumlahnya bukan sedikit, namun, di situlah saya beritahu keluarga itu, betapa bertuahnya kita dilahirkan di Sarawak kerana kerajaan sedia membantu, jika benar-benar rakyatnya menderita.
Jadi, isu kelewatan projek kecil atau sebesar apa-apa pun, kita harus faham kerajaan kita sedang berusaha, namun, memakan masa.
Laporan empat siri kami cuma sumbangan kecil kepada masyarakat termasuk memberi petanda bahawa suara kami didengari bukan sekadar menjadi kertas tidak laris.
Beginilah usaha yang dilakukan oleh wartawan kami.
Saya percaya, kejayaan itu bukan datang bergolek.
Mana ada kejayaan disemai tanpa usaha menjaganya.
Ia mesti dimulakan dengan tekad dan kerajinan, juga kearifan.
Ada yang berbisik kepada saya, mereka menang kerana kurang saingan daripada media lain.
Tidak! Sebenarnya kerana rajin.
Bukan masalah kurang saingan kerana mereka pun bersaing dengan rakan sepejabat.
Paling membanggakan saya, apabila ada yang mencubanya selepas diminta tahun demi tahun menghantar penyertaan, dan tahun ini menang emas dengan hadiah RM3,000.
Hampir kesemuanya mencuba menghantar, memang ada yang tidak menang.
Namun, bagi saya, kalah tidak mengapa daripada terus tidak mencuba.
Dalam meraikan kemenangan, kita jangan lupa kepada tulang belakang menjadikan artikel mereka dinobat naskhah terbaik. Barisan editor dan artis reka bentuk.
Bagi saya sendiri, jika tidak puas dengan hati suntingan, letak gambar atau kurang kreativiti, halaman itu harus dirombak.
Saya tidak mahu karya untuk bertanding jadi karya setengah masak, tangkap muat kerana ia juga diambil kira dari segi pemarkahan.
Ingat begini sahaja — kita suka memandang sesuatu yang cantik, lelaki suka melihat wajah wanita cantik dan wanita juga sama.
Semua manusia suka akan kecantikan dan keindahan.
Begitu juga dengan karya yang dipertandingkan kerana pandangan pertama harus turun ke hati.
Justeru, menghasilkan tulisan untuk dipertandingkan harus lengkap dan sempurna.
Rahsianya tidak lain tidak bukan, harus ada ketekunan dan kerajinan kerana wartawan ialah mereka yang berjuang untuk membawakan berita hingga sampai ke masyarakat, tidak peduli bila dan di mana pun mereka berada.
Tahniah semua wartawan kami!



