Menyediakan warga tua yang aktif

Warga emas ditakrifkan kepada mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. 

Ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di World Assembly On Ageing 1982″ di Vienna (Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.

Ini merupakan satu tanggapan yang salah.

Walaupun tua, mereka seharusnya bergiat dengan aktif dalam pelbagai aktiviti agar terus dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Merujuk kepada statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018, hampir 11 peratus bilangan penduduk di Sarawak ialah warga emas.

Ini bermakna, dalam 2.79 juta populasi Sarawak, seramai 306,800 orang ialah golongan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

Jika dahulu, kita lihat banyak warga emas yang sihat, mungkin kerana pemakanan yang dijaga berbanding sekarang.

Namun, kebajikan warga emas dahulu mungkin kurang dititikberatkan berbanding sekarang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus komited memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan keperluan golongan warga emas (Sinar Harian, 29 Jun).

Kualiti Hidup

Langkah ini penting bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan golongan tersebut termasuk persediaan dan perancangan bagi menghadapi peningkatan bilangan warga emas di negara ini.

Baru-baru ini, kerajaan meneruskan usaha menambah bilangan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) dengan sasaran satu Pawe, satu Parlimen di seluruh Negara bagi menggalakkan warga emas terus aktif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. (Utusan Online, 29 Jun).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia berkata, melalui Rolling Plan ketiga Rancangan Malaysia ke-11, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperuntukkan RM5 juta bagi mewujudkan 47 Pawe baharu yang memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas.

Memetik Utusan Online, ini menjadikan 135 Pawe keseluruhannya dengan 38,627 warga emas mendapat manfaat melalui program dan aktiviti Pawe.

Katanya ketika melawat ke Sarawak baru-baru ini, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai paling banyak Pawe berbanding negeri lain.

Peruntukan Tambahan

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan bagi penubuhan dua Pawe baharu, iaitu Pawe Petra Jaya dan Pawe Sibuti, menjadi semuanya 13 Pawe.

Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM82.9 juta pada tahun ini kepada JKM Sarawak bagi membantu warga emas menerusi Bantuan Orang Tua (BOT) dengan 22,000 penerima di negeri ini.

Menjelang 2030, peratusan penduduk warga emas di negeri ini dijangka meningkat kepada 16 peratus dengan anggaran 526,300 orang berbanding unjuran populasi 3.29 juta, jelasnya lagi.

Di peringkat nasional, Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030 dengan 15 peratus daripada penduduk negara ini terdiri daripada warga emas.

Perubahan demografi tersebut juga bakal memberi kesan kepada aspek sosial dan ekonomi.

Maka, persiapan awal bagi penyediaan ke arah pencapaian status negara tua memerlukan komitmen dan kolaborasi sepenuhnya di setiap peringkat.

Ini termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri, komuniti dan warga emas sendiri.

Masyarakat seharusnya bersedia menghadapi dan bekerjasama memangkin status negara tua menjelang 2030.