ARTIKEL

Mereka tidak hina

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“BAGI mereka yang memandang hina pekerjaan ini, saya anggap mereka lagi hina apabila tidak pandai buang sampah di tempat yang disediakan, kata Wan Othman Mohd Nur Hasyim, seorang pengutip sampah di Kuantan seperti dilapor oleh sebuah akhbar nasional baru-baru ini.

Tidakkah anda terkejut dengan kenyataan ini? Kenyataan ini bagai satu aforisme bagi saya.

Mereka yang menghina pekerjaan sebagai pengutip sampah, benar, lebih hina daripada pengutip sampah itu sendiri.

Sebenarnya, pekerjaan mengutip sampah atau pengutip sampah tidak hina.

Mana-mana pekerjaan, kecuali pelacuran adalah tidak hina.

Pelacuran disifatkan sebagai hina kerana seseorang, lelaki atau perempuan, sanggup menjual dirinya untuk mendapat wang atau kepuasan.

Wan Othman, dan juga pengutip sampah yang lain tidak harus berasa rendah diri atau hina.

Saya sentiasa menganggap semua pekerjaan penting – tidak kira pencuci tandas, pengutip sampah, penggali kubur atau apaapa pekerjaan lain yang mungkin disifatkan oleh orang lain sebagai tiada kelas atau hina.

Bayangkan dunia tanpa mereka ini? Siapakah yang akan mencuci tandas di lapangan terbang atau hotel, mengutip sampah di pekan dan kota, dan ya, menggali kubur anda? Pengutip sampah ialah pekerjaan yang mulia kerana mereka menjaga kebersihan dan kesihatan masyarakat.

Tanpa mereka, sampah pasti akan bertimbun, anda akan menghidu bau busuk, pencemaran dan penyakit merebak.

Mereka sanggup bekerja dalam keadaan panas, hujan dan kotor demi memastikan persekitaran kita bersih dan selamat. Pekerjaan ini juga memerlukan disiplin, tanggungjawab dan komitmen.

Setiap pekerjaan yang memberi manfaat kepada orang ramai adalah bermaruah dan patut dihormati oleh seluruh masyarakat.

Ketua kepada Wan Othman menyifatkannya sebagai bertanggungjawab dan amanah.

Belum pasti anda bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab anda seperti Wan Othman, 23, yang telah mulai bekerja sebagai pengutip sampah sejak berusia 18 tahun.

Hakikatnya, tidak ada pekerjaan yang dibuat dengan ikhlas, dan tidak melanggar moral, yang tidak mulia.

Semua pekerjaan adalah mulia selagi pekerjaan itu dilakukan dengan prinsip-prinsip yang mulia yang membawa kebaikan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu mengedar dadah atau melakukan pekerjaan yang dapat merosakkan diri dan masyarakat itu sesuatu yang hina.

Pengedar dadah mendapat keuntungan dan faedah atas penderitaan orang lain.

Sebagai individu yang datang daripada keluarga dan masyarakat yang miskin mutlak, saya sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap golongan bawahan, marhaen atau pekerja yang mungkin dianggap oleh orang lain sebagai rendah dan hina.

Pada pandangan mata saya, mereka ini ialah hero dan punya digniti yang mungkin lebih tinggi daripada menteri atau pemimpin mana-mana negara yang tidak ada moral dan korup, termasuk mereka yang berlagak seperti samseng dengan menyerang negara lain sesuka hati.

Ketika dalam perjalanan awal pagi menuju ke kampus di Universiti Malaysia Sarawak dahulu, saya agak kerap melihat seorang lelaki yang mengutip sampah sepanjang tepi jalan.

Dia mengutip sampah yang dibuang oleh pengguna jalan raya, termasuk pemandu dan penumpang kereta yang tidak bertanggungjawab.

Ketika dalam perjalanan dari atau balik dari pejabat di Matang ketika ini, saya juga agak kerap melihat seorang lelaki yang mengutip sampah di tepi jalan.

Sama seperti lelaki yang saya lihat di Kota Samarahan, lelaki ini melakukan kerjanya dengan tekun, memberi fokus kepada pekerjaannya. Saya memerhatikan lelaki itu mengutip sampah tanpa rasa lelah.

Namun, ketika melihat mereka ini mengutip sampah termasuk yang dibuang oleh mereka yang kononnya berkelas tinggi, berpendidikan, bermoral, berpendapatan tinggi, terlintas di fikiran saya, tidakkah mereka yang membuang sampah ini berasa bersalah? Ingat, sebahagian mereka ini memandu kereta mewah yang tentunya mahal harganya.

Tidakkah mereka berasa malu? Adakah mereka berfikir, tidak mengapa, sebab memang akan ada orang lain yang akan mengutip sampah yang dibuang oleh mereka? Bagi saya, semewah mana, setinggi mana pun pangkat anda, dan sebesar mana pun pendapatan anda, dan setinggi mana pun pendidikan anda, anda sebenarnya begitu hina kerana tidak mempunyai nilai mulia.

Anda membuang sampah sesuka hati tanpa rasa bersalah, dan tanpa rasa tanggungjawab langsung. Pengutip sampah atau pencuci tandas tidak harus berasa malu.

Anda sebenarnya lebih mulia daripada mereka yang berpelajaran tinggi dan berjawatan tinggi dan berkereta mewah tetapi tidak punya sedikit akal untuk menjaga kebersihan, sedangkan sejak sekolah rendah, malah tadika, mereka sudah disemai dengan nilai betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Di jalan di Matang yang saya maksudkan tadi, malah ada papan tanda, “Jaga Kebersihan Bandar Raya Kita”. Kelihatannya, semua itu bagai tidak ada makna dan tidak berkesan langsung.

Bagi pembuang sampah ini, termasuk mereka yang berjaya dalam kehidupan dan kerjaya, mereka tidak memiliki empati dan tidak merasai keperitan pengutip sampah yang terpaksa bekerja di bawah panas mentari atau ketika hujan.

Ya, demi sesuap nasi. Ada daripada mereka ini bekerja waktu siang, dan sebahagian lagi pada waktu malam atau awal pagi.

Ya, ketika anda semua tidur nyenyak. Semuanya demi memastikan kawasan kediaman anda atau bandar dan pekan yang anda tinggal sentiasa bersih.

Wan Othman mengakui bahawa, cabaran yang dihadapinya sebagai pekerja pembersihan ialah, segelintir masyarakat tidak pandai menjaga kebersihan terutama tidak mengikat plastik sampah dan membuangnya ke dalam tong sampah.

Mereka membuang sampah sesuka hati. Tetapi adakah mereka ini membuang sampah sesuka hati di kawasan rumah mereka? Itulah sebabnya, langkah mengenakan denda sehingga RM2,000 serta hukuman tambahan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam terhadap individu yang membuang sampah adalah sesuatu yang wajar, dan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Tujuannya, untuk mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.s Ia juga sebagai satu bentuk pencegahan, manakala hukuman khidmat masyarakat dapat dianggap sebagai satu bentuk pemulihan.

Di Semenanjung, ratusan orang termasuk warga asing telah ditangkap kerana membuang sampah.

Seyogia diingat, membuang sampah termasuk putung rokok di tempat awam merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengurus dan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Bagaimanakah cara terbaik untuk menghargai dan mengiktiraf pengutip sampah atau pemandu lori sampah ini? Pernahkah kita mengiktiraf dengan memberi insentif kepada mereka? Pernahkah anda menghargai mereka dengan memberi angpau atau wang menjelang perayaan seperti Aidilfitri? Apakah bentuk penghargaan yang wajar diberi kepada pengutip sampah yang bertanggungjawab, amanah, rajin dan komited terhadap pekerjaannya yang mulia itu? Ketika mengemukakan soalan ini, saya teringat akan seorang penyapu dan pengutip sampah di kawasan Electra House di Kuching puluhan tahun lalu. Mungkin lelaki itu sudah tidak lagi bekerja kerana sudah pencen.

Pelakuan dan sikap lelaki ini masih segar dalam ingatan saya.

Sebab, sebagai pengutip sampah, dia begitu tekun, bersungguhsungguh, kelihatan ikhlas dan komited terhadap pekerjaannya.

Saya begitu tersentuh melihat lelaki itu menjalankan tugasnya. Ketika itu, kalau saya ada cara, saya mahu memperakukan kepada pihak berkuasa, supaya dia bukan sahaja dinaikkan gaji, tetapi diberi pingat khas.

Tidakkah kita terfikir untuk menganugerahi mereka dengan sesuatu yang begitu bermakna dalam kehidupan dan kerjayanya, sekali gus mengangkat darjat mereka? Ya, supaya pengutip sampah juga dianggap sebagai pekerjaan yang mulia, lebih mulia daripada pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa.

Namun, cara terbaik untuk anda menghargai pengutip sampah adalah dengan bersikap lebih prihatin. Anda harus sentiasa menjaga kebersihan, dan tidak membuang sampah sesuka hati.

Ya, anda tidak harus membiarkan pengutip sampah mengutip dan mengumpul sampah yang anda buang!

  • Dato Dr Jeniri Amir sentiasa kagum dengan kebersihan dan kekemasan di kota Singapura, Tashkent, dan Jepun.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka