SRI AMAN: Perlawanan kedua peringkat kumpulan kempen Liga Sri Aman, Piala Datuk Francis Harden Hollis 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman, Ahad lalu terus rancak.
Penampilan pasukan Merpati FC antara yang mencuri tumpuan apabila meneruskan momentum kemenangan dengan membelasah Kaban Empire FC (7-0).
Ia merupakan kemenangan kedua buat kelab yang begitu digeruni kredibilitinya ketika ini, selepas mencatat kemenangan besar (8-0) ke atas SPAD pada aksi pertama Sabtu lepas.
Dalam pada itu, reputasi berbeza ditampilkan SPAD pada aksi kedua dengan menumpaskan Datus United (5-0).
Di samping itu, kemenangan tipis (2-1) diperoleh Aqib X Kampung Boy.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Ak Kendim mengakui masih ada peluang buat beberapa pasukan mengintai tiket ke separuh akhir.
“Melihat kepada beberapa keputusan setakat ini, Merpati FC boleh dikatakan hampir pasti mara ke separuh akhir.
“Bagaimanapun, peluang beberapa pasukan lain masih terbuka untuk ke arah itu,” ujar Alfred kepada Arena Suara Sarawak.
Apa yang penting, tegasnya, pasukan sedia ada perlu memanfaatkan aksi terakhir peringkat kumpulan yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Ogos ini.
Enam perlawanan akan berlangsung pada dua tarikh itu kelak membabitkan pasukan kumpulan berbeza.
Tiga perlawanan berlangsung pada Sabtu (16 Ogos) disusuli jumlah perlawanan sama pada Ahad (17 Ogos).



