ARTIKEL

Mia bakal beraksi pada Siam Real Combat (SRC) di World Siam Stadium, Tawanna Bangkapi, Bangkok, Thailand pada 15 September ini dalam pertarungan Muay Thai wanita tiga pusingan kategori 100 paun (45.4 kilogram).

Mia Ghazali bakal sahut cabaran di Thailand

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belum sempat lama meraikan kejayaan meraih emas Muay Thai pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, atlet muda Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar atau Mia Ghazali, kini mengalihkan fokus kepada cabaran antarabangsa di Thailand bulan depan.

Mia bakal beraksi pada Siam Real Combat (SRC) di World Siam Stadium, Tawanna Bangkapi, Bangkok, Thailand pada 15 September ini dalam pertarungan Muay Thai wanita tiga pusingan kategori 100 paun (45.4 kilogram).

“Antara fokus saya selepas ini adalah ke Bangkok dan menyertai kejohanan SRC pada tahun ini,” katanya ketika ditemui.

Perkembangan itu turut dikongsi abangnya yang juga jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, yang menyifatkan pentas berkenaan sebagai cabaran seterusnya dalam perjalanan Mia selepas SUKMA.

“Belum sempat lama meraikan kejayaan meraih emas Muay Thai SUKMA 2026, Mia Ghazali kini kembali ke gelanggang untuk cabaran seterusnya.

“Kali ini, langkahnya membawa Mia ke Thailand untuk berdepan lawan baharu di pentas SRC,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Jojo, pengalaman bertanding di Thailand akan memberi ruang kepada adiknya menguji kemampuan di pentas lebih besar selepas beraksi pada temasya SUKMA.

“Dari pentas SUKMA, kini menguji diri di bumi Thailand, satu lagi pengalaman penting dalam perjalanan Mia sebagai atlet muda.

“Semoga Mia terus berani, terus belajar dan terus memberikan yang terbaik. Agi Idup, Agi Ngelaban. SUKMA selesai, Thailand pula menanti!” katanya.

Mia sebelum ini mencuri tumpuan apabila menewaskan wakil Johor, Damia Husna Azian, 34-33, dalam pertarungan sengit Muay Thai wanita kategori 42-45 kilogram pada Ahad lalu, sekali gus menghadiahkan emas kepada Sarawak.

Kemenangan itu turut melengkapkan koleksi emas keluarga Ghazali dalam arena Muay Thai SUKMA apabila Elias Ghazali dan Jojo terlebih dahulu meraih emas pada edisi 2022, sebelum Miki Ghazali meneruskan legasi keluarga itu dengan kejayaan sama pada SUKMA 2024.

Kini, Mia berdepan tugasan berbeza di Bangkok apabila pentas SRC bakal menjadi medan seterusnya untuk menguji kemampuan atlet muda itu di luar negara.

Mia Ghazali ketika beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Mia Ghazali ketika beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Mia Ghazali ketika beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU