KUCHING: Petarung Muay Thai remaja negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki, kembali mencatat kemenangan di pentas Siri Dunia Rajadamnern (RWS) selepas menewaskan wakil Algeria, Zaid Zirem, menerusi keputusan sebulat suara di Stadium Rajadamnern, Bangkok, semalam.
Miki, 17, bangkit daripada pusingan pembukaan yang menyaksikan Zaid memberikan tekanan untuk menguasai dua pusingan berikutnya sebelum tiga juri memberikan kemenangan 30-27, 29-28 dan 29-28 kepadanya.
Kemenangan itu turut memperbaiki rekod Miki di pentas RWS kepada tiga kemenangan dan satu kekalahan (3-1), selepas sebelum ini tewas kepada James Kostic pada Jun lalu.
Abangnya, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, menerusi hantaran media sosial mengucapkan syukur atas kemenangan tersebut sambil memuji ketenangan Miki meskipun berdepan perubahan lawan pada saat akhir.
“Alhamdulillah, Miki berjaya menewaskan Zaid Zirem dalam aksi Muay Thai di Stadium Rajadamnern malam ini!
“Walaupun berlaku perubahan lawan pada saat akhir, Miki tetap tampil dan memberikan yang terbaik di gelanggang,” katanya, semalam.
Miki pada asalnya dijadualkan menentang Mouhammad Latmi sebelum berlaku perubahan pada senarai lawan, dengan Zaid mengambil tempat tersebut.
Dalam pertarungan kategori 128 paun itu, Zaid terlebih dahulu tampil agresif pada pusingan pertama dan memaksa Miki lebih banyak bertahan sambil mencari ruang untuk membaca gerakan lawannya.
Bagaimanapun, Miki mula mengubah corak pertarungan pada pusingan kedua apabila meningkatkan tekanan menerusi kombinasi tumbukan dan tendangan yang menyukarkan Zaid mengawal rentak.
Memasuki pusingan ketiga, Miki terus mengekalkan tekanan dan berjaya menjatuhkan Zaid ke kanvas menerusi satu serangan tepat sebelum meneruskan asakan sehingga tamat pertarungan.
Ketiga-tiga juri memberikan kelebihan kepada Miki bagi pusingan kedua dan ketiga, sekali gus mengesahkan kemenangan sebulat suara buat petarung muda negara itu.
Kemenangan tersebut meneruskan kebangkitan Miki di RWS selepas beliau sebelum ini merekodkan kemenangan menerusi keputusan terhadap Reza Dostielmi pada Februari dan kemenangan kalah mati pusingan kedua ke atas Aekmongkol pada April sebelum tewas kepada Kostic pada Jun.






