KUCHING: Seorang lelaki dari Kedah dijatuhkan hukuman denda RM4,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana memiliki nospan seberat 3.51 gram, April lalu.
Tertuduh, 39, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 32 (2) akta yang sama.
Dia melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah warung di Jalan Pending, sekitar 2.30 petang, 28 April lepas.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, sepasukan polis menahan seorang lelaki di tepi warung di Jalan Pending kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Semasa pemeriksaan, pihak polis menemukan dua paket plastik lut sinar berisi 24 biji pil nospan yang diserahkan sendiri oleh tertuduh.
Barang kes bagi kedua-dua kejadian dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mengesahkan pil tersebut mengandungi Dextromethorphan yang merupakan racun terkawal kelas pertama seperti yang termaktub dalam Akta Racun 1952.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Safly Nor Kazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






