KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,200 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 0.23 gram di tepi sebuah farmasi Tabuan Stutong, April lalu.
Jumat Mohamad tairus, 28, dari kampung Baru, Samarahan mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki bahan terlarang itu ketika berada di luar sebuah farmasi di Tabuan Stutong, kira-kira jam 11.25 pagi, 29 April lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Semasa pemeriksaan, pihak polis menjumpai dua tiub straw masing-masing berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam poket seluar hadapan tertuduh.
Tertuduh kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan barang kes dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.
Hasil laporan kimia pada 12 Jun lalu, mendapati barang tersebut merupakan dadah jenis Methamphetamine seberat 0.23 gram.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.