DAP Sarawak memenangi hanya dua daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam PRN pada 2021, dan lima kerusi Parlimen setahun kemudian. Hanya memenangi dua kerusi DUN yang ditandingi menjadi titik hitam dalam sejarah DAP sejak bertapak di Sarawak pada 1978 ketika zaman pemerintahan Tun Abdul Rahman Yaakub sebagai Ketua Menteri.
Jumlah keseluruhan undi dimenangi DAP ialah 55,308, berbanding GPS sebanyak 457,347 undi, PKR sebanyak 19,865 undi, dan PAS hanya 2,058 undi daripada 759,627 orang atau 60.67 peratus yang keluar mengundi. GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN — satu rekod terbaik parti pemerintah dalam sejarah Sarawak, sekali gus rekod cemerlang bagi Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam percubaan awal, DAP tidak memenangi sebarang kerusi DUN atau Parlimen. Namun, pada 1996, DAP memenangi tiga kerusi termasuk Wong Ho Leng di DUN Sarawak. DAP bangkit semula pada 2006 dengan memenangi enam kerusi.
Kini, hanya dua ADUN DAP di DUN Sarawak, sekali gus menjadikan mereka begitu minoriti. Dapat dibayangkan kesan psikologi terhadap kedua-dua ADUN itu – Chong Chieng Jen dan Violet Tay dikerumuni 80 ADUN GPS.
Dalam PRN Sarawak ke-11 pada 2016, DAP memenangi tujuh kerusi, manakala PKR tiga kerusi. Lima ahli parlimen DAP dari Sarawak pula ialah Chong sendiri sebagai pengerusi DAP Sarawak, Kelvin Yii, Mordi Bimol, Alice Lau dan Oscar Ling.
Persoalannya, jika diadakan PRU, mampukah DAP mempertahankan jumlah kerusi yang sama? Atau parti itu akan dapat menambahkan jumlah kerusi Parlimen Sarawak? Bagaimana pula dengan kerusi DUN? Adakah DAP akan lenyap dalam PRN yang dijangka diadakan sebelum berakhirnya 2026, sama seperti yang dialami oleh DAP Sabah dalam PRN lalu?
Bagaimana pula nasib dua lagi sekutu DAP, PKR dan Amanah? Kemungkinan besar PKR dan Amanah sukar mendapat kerusi, sama seperti yang menimpanya dalam PRN 2021. Sebanyak 349 calon mempertaruhkan nasib dalam PRN berkenaan. Dalam pilihan raya itu, PKR tewas di semua 28 kerusi, manakala Amanah kalah di lapan kerusi. Dalam keadaan sekarang, hanya keajaiban yang dapat menukar ramalan saya ini.
Nasib DAP di Sabah juga malang. Parti yang ditubuhkan di Semenanjung pada 1966 itu, ‘bungkus’ apabila tewas di semua lapan kerusi ditandinginya pada November 2025 – kali pertama parti itu tidak mempunyai wakil di Sabah sejak 2004.
Ia merupakan manifestasi kekecewaan dan kemarahan pengundi Sabah terhadap parti itu yang dinilai tidak komited untuk memenuhi segala janjinya dalam PRN dan PRU lalu. Akibatnya, DAP Sabah terpaksa menelan pil pahit. Rakyat Sabah memilih parti tempatan dan menolak parti dari Semenanjung.
Untuk berdepan dengan PRN nanti, DAP Pusat menyatakan pendirian untuk menyerahkan kepada kepemimpinan Sarawak bagi menentukan strategi dan jumlah calon yang bertanding. Apakah agaknya strategi perang DAP nanti supaya menambahkan jumlah kerusi?
DAP kini bagai harimau luka dan ingin membalas dendam terhadap GPS yang dilihat sukar digugat di bawah kepemimpinan dinamik dan berwawasan Abang Johari.
Chong sebagai pengerusi, tentu berdepan tekanan kuat untuk menambah baik prestasi ketika reputasinya semakin terpukul dan nama pemimpin lebih muda seperti Kelvin Yii semakin mendapat tempat di hati penyokong DAP.
Dengan autonomi yang bakal diberi, DAP perlu mencatur strategi ampuh bagi memastikan ia tidak sekadar menjadi lipatan dalam sejarah politik Sarawak sama seperti nasib malang yang menimpanya di Sabah.
Saya yakin, DAP yang terdesak akan berkempen atas sentimen dan hujah bahawa GPS tidak dapat diberi kuasa mutlak di DUN Sarawak. Adakah pengundi Cina khususnya akan mudah termakan oleh hujah dan alasan sedemikian? DAP akan menegaskan pentingnya kuasa semak dan imbang di DUN Sarawak bagi menentukan semangat dan prinsip demokrasi terus subur. DAP bagai tidak lagi bermaya. Rekod DAP dalam tempoh lima tahun lalu amat buruk.
Semua tahu bahawa GPS memiliki kelebihan besar dari segi sentimen kenegerian kerana perjuangannya atas prinsip Utamakan Sarawak dan tuntutan terhadap hak bawah Perjanjian Malaysia 1963.
Rakyat Sarawak cenderung menyokong parti tempatan yang dianggap lebih memahami budaya, adat dan keperluan negeri tersebut. GPS berjaya membina imej sebagai pelindung hak Sarawak dalam MA63, termasuk isu autonomi, hasil petroleum dan kuasa pentadbiran negeri. Sebaliknya, DAP sering dilihat sebagai parti nasional yang berpangkalan di Semenanjung dan kurang memahami sensitiviti politik tempatan.
Kekuatan jentera akar umbi GPS sangat kukuh terutama di kawasan luar bandar. Sarawak mempunyai geografi yang luas dengan banyak kawasan pedalaman yang sukar diakses. GPS melalui parti komponennya seperti PBB telah lama bertapak dan mempunyai rangkaian kepemimpinan tempatan yang kuat sehingga ke peringkat kampung dan rumah panjang.
Hubungan rapat antara pemimpin GPS dengan masyarakat setempat memberi kelebihan besar ketika kempen pilihan raya. DAP pula lebih kuat di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu dan Miri, tetapi pengaruhnya di luar bandar masih terhad. Persoalannya, mampukah parti itu menawan semula Bukit Asek, Dudong dan Pelawan?
Faktor pembangunan turut memainkan peranan penting. GPS sering dikaitkan dengan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan negeri. Projek infrastruktur seperti jambatan, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan Internet di kawasan luar bandar meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri. Pelbagai bentuk bantuan diberi kepada semua golongan masyarakat termasuk anak muda, pelajar, wanita dan OKU.
Pengundi lazimnya cenderung mengekalkan kerajaan yang dianggap mampu membawa pembangunan berterusan serta mampu membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan. DAP pula menghadapi cabaran untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu menawarkan alternatif yang lebih baik daripada GPS.
Tidak dinafikan, kerana prestasinya yang cemerlang, majoriti pengundi bumiputera, termasuk Melayu, Melanau dan masyarakat Dayak, memihak kepada GPS. DAP sering dilihat mendapat sokongan utama daripada pengundi Cina bandar. Persepsi ini mengehadkan kemampuan DAP untuk menembusi kawasan majoriti bumiputera secara meluas.
Kerjasama GPS dengan Kerajaan Persekutuan turut mengukuhkan kedudukannya. Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan membolehkan Sarawak memperoleh pelbagai peruntukan dan projek pembangunan. Hal ini memberi gambaran bahawa GPS mampu menjaga kepentingan negeri dengan lebih berkesan berbanding parti pembangkang.
Manakala DAP dianggap tidak berfungsi secara signifikan dan berkesan sebagai parti pembangkang. DAP semakin kehilangan taring dan bisanya selepas kekalahan teruk dalam PRN lalu, serta nasib buruk yang menimpa DAP Sabah. Kini, DAP Sarawak turut dihantui mimpi ngeri ketika nasib Chong sendiri juga belum pasti dalam PRN nanti. Atau mungkinkah Chong akan berpindah lagi ke kerusi lain yang lebih selamat?
• Dato Dr Jeniri Amir ialah pengamat politik Sarawak sejak lebih 30 tahun lalu dan pendapat beliau sering dipetik pelbagai saluran TV dan media cetak dan portal berita.



