ARTIKEL

Mimpi tidak lena pemimpin politik, jutawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PERKEMBANGAN terkini usaha menegakkan integriti dan ombudsman di tanah air kini mengundang “mimpi tidak lena” kepada banyak pihak.

Baik orang politik mahupun usahawan.

Bergelar “Tun” dan “Tan Sri” tidak bermakna anda akan terlepas daripada jaringan pemantauan.

Apa-apa sahaja harta yang anda beli, terima dan miliki, kini perlu didedah dan dilaporkan kepada kerajaan; atau jika tidak, ia akan didedahkan kepada awam.

Ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, yang diminta untuk mengisytihar harta susulan Laporan Panama dan Pandora, beliau tidak dapat menyembunyikannya.

Sewaktu perbicaraan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytihar harta, banyak pemilikan yang seharusnya peribadi bagi Tun Daim, didedahkan kepada umum.

Malah The Edge Malaysia menyenaraikan secara terbuka menerusi e-paper “ceomorningbrief” akan aset-aset yang dimiliki Tun Daim.
Antaranya kereta mewah jenama Rolls Royce, Jaguar dan pelbagai siri Mercedes Benz, 25 hartanah bernilai tinggi baik di ibu negara, mahupun di Pulau Pangkor dan Cameron Highlands.

Juga 38 syarikat termasuk yang berprofil tinggi yang dimilikinya secara langsung mahupun tidak langsung.

Daim, 85 tahun, yang hadir di mahkamah berkerusi roda dan sebelah matanya buta tidak mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan “minta bicara”.

Umum mengetahui bukan mudah untuk menghakimi Tun Daim ketika ini kerana beliau sebenarnya kurang bercakap.

Malah seorang wartawan, Fatini Yaacob, yang menulis biografinya memberikan tajuk “Daim Yang Diam” — bagi membayangkan perwatakan Daim selepas bersara dari politik.

Apatah lagi pada waktu ini, dengan beliau berhadapan kegagalan buah pinggang, mengalami strok ringan dan kurang pendengaran.

Baca lain  Menunggu berita baik Belanjawan 2021

Justeru ia tidak mudah untuk mengadili Tun Daim atau nama sebenarnya Tun Dr. Che Abdul Daim bin Zainuddin dengan seadilnya.

Beliau dan juga pihak pendakwa perlu menyemak kembali rekod-rekod yang mungkin sudah berhabuk dan berusia lebih 40 tahun.
Atau mungkin lebih lama daripada itu — memandangkan beliau seorang usahawan yang berjaya sebelum terjun ke dalam bidang politik, atas permintaan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Daim asalnya dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1984 sebelum bersara pada 1991.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1998, sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kewangan bermula 1999 hingga Mei 2001.

Tidak ramai yang tahu bahawa Tun Daim merupakan seorang peguam sebelum terlibat sepenuh masa dalam perniagaan.

Beliau pernah menjadi Hakim Mahkamah Sesyen dan Timbalan Pendakwa Raya sebelum meletak jawatan dan menyertai syarikat guaman.

Dan ketika bersama-sama Tetuan Allen & Gledhill, Tun Daim telah diarahkan oleh Kerajaan Malaysia pada waktu itu untuk mewakili Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Datuk Abang Haji Openg Abang Sapiee dalam kes pelucutan jawatan Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Amat jelas, ia bukan tugas mudah untuk menuduh Tun Daim, mahupun untuk membuktikannya bersalah.

Dalam menimbang kes-kes yang berlaku puluhan tahun lalu, sudah pasti ia akan berjalan lama.

Dan siasatan akan bertambah sukar, dengan status kesihatan terkini Tun Daim.

Baca lain  Lepasan SPM perlukan bimbingan

Turut diminta mengisytiharkan harta, dan diberi masa sebulan untuk melaksanakannya, ialah dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seperti Daim, Mirzan Mahathir, 68, dan Tan Sri Mokzani Mahathir, 63, diberi masa 30 hari; dengan tarikh akhir pengisytiharan untuk Mirzan pada 17 Januari lalu dan Mokhzani, 26 Januari lalu.

Seperti Daim, adalah mustahil untuk mereka membongkar fail-fail lama berusia sehingga 43 tahun untuk diisytiharkan.

Justeru lanjutan masa diperlukan, dan tidak pasti sampai bila mereka akan dapat melakukannya, atau jika terus gagal, seperti Tun Daim, mereka akan menjadikan mahkamah sebagai gelanggang pertempuran terakhir.

Mirzan dikehendaki mengisytiharkan harta alih dan tidak alih dalam pemilikannya di dalam dan luar negeri selari dengan Seksyen 36(1)(b) manakala Mokzani disiasat di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.
Yang pasti, siasatan terhadap ketiga-tiga individu ini memberi mesej yang jelas, setiap penjawat awam dan ahli politik, biar apa pun kedudukan perlu berhati-hati.

Bersara, tidak bermakna anda mampu menarik nafas lega.

Dan sewajarnya segala dokumen yang berkaitan dengan apa-apa jua harta perlu disimpan selama dan sebaik mungkin.

Proses perundangan boleh sahaja berlaku jika ada pihak yang membuat laporan.

Dan jika anda tidak menyimpan data secara betul, atau dokumen hilang, anda mungkin berhadapan dengan masalah.

Begitu juga dengan kemewahan yang dimiliki oleh mana-mana individu, termasuk usahawan yang berjaya.

Perlu diperjelas dan disediakan segala dokumen berkaitan yang membuktikan bagaimana anda memiliki kekayaan itu.

Baca lain  Pengundi pegang kad prestasi YB

Tidak macam dahulu, segala kemewahan yang dikecapi kini oleh mana-mana individu diperhatikan.

“Surat tuntutan penjelasan” mungkin akan tiba di pintu rumah, 20 atau 30 tahun kemudian, atau ketika anda sudah uzur dan tidak mampu untuk bercakap.

Ini hakikat yang berlaku pada hari ini, yang sekali gus memperjelas kepada ketegasan pentadbiran negara dalam menangani isu rasuah.

Cuma yang dipinta, biarlah ia dilakukan secara adil, sama rata dan tidak terpilih.

Juga jika siasatan terhadap Laporan Panama dan Pandora dikaitkan dengan kes ini, ia harus melibatkan pengisytiharan harta semua individu yang tersenarai, bagi memastikan ia tidak dilihat bernuansa politik, atau ditujukan kepada tokoh politik tertentu.
Dengan tindakan demikian barulah SPRM dilihat sebagai telus dan berkecuali.

Yang pasti, tindakan ini mencetuskan “precedent case” bahawa jika anda berjawatan tinggi, ahli politik dan hartawan; anda sebenarnya perlu lebih berhati-hati.

Jika kekayaan itu ternampak luar biasa, dan projek yang dimiliki ternampak mudah diberi atau diperolehi, anda tidak akan terlepas untuk disiasat.
Namun usah gentar, kerana mungkin sahaja anda tidak bersalah.

Tun Abdul Taib Mahmud disiasat bertahun-tahun, dengan jumlah lebih 15 aduan termasuk daripada ahli politik dan usahawan; namun beliau tidak pun dituduh kerana pihak pendakwa raya mendapati beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, termasuk tidak mempengerusikan keputusan mana-mana mesyuarat, yang beliau ada kepentingan.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

Seni cipta kekayaan

BAGAIMANAKAH cara hendak menjadi bilionair? Kelihatannya bagi kebanyakan kita, hal ini bukannya mudah. Ia satu impian yang sukar digapai oleh lapan bilion manusia di planet

Sampah plastik cemar lautan

KETIKA manusia membuang sampah plastik di taman atau pantai, jalan raya, aliran air – aktiviti alam membawa cebisan plastik itu melalui longkang ke sungai untuk

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

BERITA TERBARU