ARTIKEL

Minat bakeri jadi rezeki

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bermula daripada kegemaran menonton video masakan di media sosial, minat Munirah Syarwani AsSyahab Ibrahim terhadap dunia bakeri semakin bercambah sehingga mendorongnya menghasilkan pelbagai pencuci mulut.

Bagi anak muda berusia 22 tahun dari Kuching itu, kegiatan tersebut bukan lagi sekadar hobi atau usaha memenuhi permintaan pelanggan.

Sebaliknya, minat yang dipupuk sejak sekian lama kini berkembang menjadi perniagaan dan kerjaya sepenuh masa yang menjanjikan. Perniagaan kecil yang dikenali sebagai thecloudymoo mula beroperasi pada April tahun lalu.

Pada peringkat awal, Munirah hanya mempromosikan perniagaannya melalui media sosial.

Perniagaannya mula mendapat perhatian selepas hantaran promosi yang dimuat naik di platform Threads dikongsi semula oleh pengguna lain.

Perkongsian itu berjaya menarik perhatian ramai, sekali gus meningkatkan jumlah tempahan.

Sejak itu, perniagaan beliau semakin dikenali menerusi keunikan dadih dan puding susu yang dihiasi corak awan. Idea untuk menghasilkan pencuci mulut berkonsepkan awan tercetus selepas Munirah menonton video seorang pempengaruh TikTok, Mr Ali, yang menghasilkan puding berbentuk awan.

Pempengaruh tersebut terkenal kerana sering berkongsi resipi masakan dan pencuci mulut.

“Dari situ, saya mendapat inspirasi untuk menghasilkan puding dan dadih yang dihiasi corak awan,” katanya.

Nama thecloudymoo bukan sahaja diilhamkan daripada corak awan yang menghiasi produknya, tetapi juga daripada penggunaan susu sebagai bahan asas dalam penyediaan dadih. Seiring dengan perkembangan perniagaannya, Munirah sentiasa memastikan setiap tempahan dihasilkan dalam kualiti terbaik dan kekal konsisten seperti ketika beliau mulamula mengusahakan perniagaan tersebut.

Bagi mendapatkan hasil yang sempurna, Munirah melakukan persediaan dengan teliti.

Dadih dimasak sehari sebelum diserahkan kepada pelanggan bagi memastikan teksturnya mengeras dengan sempurna.

Proses akhir, termasuk pembungkusan dan penyediaan tempahan, turut mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan cermat. Setiap tempahan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Dalam pada itu, tempahan lazimnya meningkat menjelang musim perayaan, khususnya ketika Aidilfitri dan Gawai. Selain itu, terdapat juga pelanggan yang menempah dadih sebagai pencuci mulut untuk majlis perkahwinan dan sambutan hari lahir.

Bagaimanapun, sambutan pelanggan di luar musim perayaan tetap menggalakkan Keadaan itu membuktikan produknya masih menjadi pilihan pelanggan yang mencari pencuci mulut unik. “Alhamdulillah, sekarang pun saya masih menerima banyak tempahan walaupun bukan pada musim perayaan,” ujarnya.

Sementara itu, Munirah bukan sahaja menjadikan perniagaan itu sebagai kerjaya sepenuh masa, malah menguruskan keseluruhan operasinya dari rumah seorang diri.

Bermula daripada menyediakan bahan, memasak, menghias dan membungkus produk sehinggalah menguruskan tempahan pelanggan, semuanya dilakukan tanpa bantuan pekerja. Walaupun diusahakan seorang diri, setiap perincian diberi perhatian bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan dengan sebaik-baiknya.

Meskipun tugas itu bukan sesuatu yang mudah, Munirah tetap menjadikan kualiti sebagai keutamaan. Baginya, kepuasan pelanggan amat penting bagi membangunkan dan mengembangkan perniagaannya.

Ketika ini, Munirah memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memperkukuh perniagaan thecloudymoo agar dapat berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas.

Pada masa sama, dia turut berhasrat memperkenalkan menu baharu pada masa hadapan sekiranya diberikan peluang dan rezeki.

Beliau juga menyimpan impian untuk memiliki kedai sendiri suatu hari nanti.

“Buat masa ini, fokus saya adalah untuk memajukan perniagaan ini. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya ingin membuka kedai sendiri dan menghasilkan menu lain pada masa akan datang,” jelasnya.

Kisah Munirah membuktikan idea yang tercetus daripada minat dan kreativiti mampu berkembang menjadi sumber rezeki yang bermakna.

Identiti thecloudymoo bukan sahaja terletak pada keunikan produknya, malah turut melambangkan perjalanan seorang usahawan muda yang gigih mengembangkan perniagaannya ke pasaran yang lebih luas

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

Lapan pasukan buru separuh akhir

SAINGAN peringkat suku akhir Liga Lundu 2026 bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini. Perlawanan itu menyaksikan pertembungan lapan pasukan terbaik daripada empat kumpulan

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan